Pengawal keselamatan maut tertimbus tanah runtuh

Anggota Bomba sedang mencari pengawal keselamatan yang tertimbus dalam insiden tanah runtuh di Taman Seputeh, di sini, pada Khamis.
Anggota Bomba sedang mencari pengawal keselamatan yang tertimbus dalam insiden tanah runtuh di Taman Seputeh, di sini, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Wisma YPR, Taman Seputeh, di sini, pada Khamis.

Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Rizuan Razali berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima panggilan berkaitan insiden itu pada jam 12.54 tengah malam.

"Seramai 37 anggota dan pegawai termasuk unit anjing pengesan (K9), Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) bersama jentera dari Balai Bomba Hang Tuah serta Seputeh bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada jam 1.05 pagi didapati berlaku runtuhan tanah dan menghempap sebuah pondok pengawal berhampiran.

Keadaan di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Seputeh, di sini, pada Khamis.
Keadaan di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Seputeh, di sini, pada Khamis.

"Seorang lelaki tertimbus di bawah runtuhan tanah tersebut, pencarian mangsa dilakukan oleh pasukan bomba dengan bantuan unit K9, STORM dan jentolak dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 6.23 pagi dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik.

"Mangsa kemudian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.