Bantuan tambahan RM2.8 juta kepada pesawah terkesan

Ronald dalam acara simbolik mengetik kad perakam waktu secara rasmi di pejabatnya di Wisma Tani selepas selesai istiadat mengangkat sumpah pada Isnin
Ronald dalam acara simbolik mengetik kad perakam waktu secara rasmi di pejabatnya di Wisma Tani selepas selesai istiadat mengangkat sumpah pada Isnin
A
A
A

PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan bantuan tambahan sebanyak RM2.8 juta melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada pesawah-pesawah yang terkesan akibat bencana alam yang berlaku di Yan dan Kuala Muda, Kedah baru-baru ini.

Menurutnya, kadar bantuan yang diberikan itu adalah sebanyak RM1,800 per hektar dengan keluasan maksimum sebanyak tiga hektar.

“Penilaian bagi pesawah yang terlibat akan dilaksanakan oleh jabatan teknikal tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas diberikan taklimat ringkas oleh pengurusan tertinggi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengenai situasi banjir di Kedah dalam acara simbolik mengetik kad perakam waktu secara rasmi di pejabatnya di Wisma Tani selepas selesai istiadat mengangkat sumpah pada Isnin.

Ahmad dalam acara simbolik mengetik kad perakam waktu secara rasmi di pejabatnya di Wisma Tani selepas selesai istiadat mengangkat sumpah pada Isnin.
Ahmad dalam acara simbolik mengetik kad perakam waktu secara rasmi di pejabatnya di Wisma Tani selepas selesai istiadat mengangkat sumpah pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan pegawai-pegawai kanan MAFI.

Ronald pada Isnin telah dimaklumkan bahawa 34.2 hektar kawasan tanaman padi di kawasan Boi, Yan yang berusia antara 75 hingga 105 hari di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah terjejas.

Bagi kawasan luar jelapang yang terkesan adalah di bawah selian Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok seluas 18.4 hektar yang berusia antara 95 hingga 105 hari serta kawasan di bawah seliaan Jabatan Pertanian melibatkan 15,759 hektar berusia antara 95 hingga 110 hari.

Artikel Berkaitan:

Ini menjadikan keseluruhan keluasan yang terlibat adalah 15,811.6 hektar dan bilangan keseluruhan pesawah yang terkesan masih dalam bancian.

Dalam pada itu, MAFI memaklumkan akan memperuntukkan bantuan lain daripada Tabung Bantuan Bencana Agromakanan bagi golongan sasar dalam meneruskan kelangsungan hidup disebabkan pendapatan mereka yang telah terjejas.

“Kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan sebanyak RM80 juta untuk tabung berkenaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi membantu pesawah, petani dan penternak yang kehilangan hasil akibat daripada bencana alam.

Ronald (empat dari kiri), Ahmad (kiri berbaju Melayu), Nik Muhammad Zawawi (kanan berbaju Melayu) bergambar bersama pegawai-pegawai kanan MAFI pada Isnin.
Ronald (empat dari kiri), Ahmad (kiri berbaju Melayu), Nik Muhammad Zawawi (kanan berbaju Melayu) bergambar bersama pegawai-pegawai kanan MAFI pada Isnin.

“Sehingga 30 Ogos 2021, MAFI telah menyalurkan sejumlah RM4.34 juta kepada golongan sasar yang terjejas akibat bencana alam daripada tabung ini,” katanya.

MAFI berkata, bagi membantu meringankan beban golongan petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana ini juga, pihaknya telah menggerakkan bantuan bakul makanan melalui inisiatif MAFI Prihatin.