Guna teknologi AI scam RM2.8 juta

Scammer itu menggunakan teknologi AI untuk mengubah wajah dan suaranya. - Foto Agensi
Scammer itu menggunakan teknologi AI untuk mengubah wajah dan suaranya. - Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - Teknologi kecerdasan buatan (AI) telah disalahgunakan oleh seorang scammer di China yang menyamar sebagai ahli perniagaan dan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah jutaan yuan kepadanya.

Mangsa dikenali sebagai Guo menerima panggilan video daripada individu yang kelihatan seperti teman rapatnya pada bulan lalu.

"Siasatan awal mendapati pemanggil sebenarnya scammer yang menggunakan teknologi AI untuk mengubah wajah dan suaranya," lapor media tempatan pada awal minggu lalu.

Difahamkan, Guo dipujuk untuk memindahkan 4.3 juta yuan (RM2.8 juta) daripada akaun syarikat selepas scammer tersebut mendakwa seorang lagi rakan mereka memerlukan wang untuk membayar jaminan kepada tender awam.

"Suspek kemudiannya meminta nombor akaun bank peribadi Guo dan memaklumkan jumlah wang sama telah dipindahkan ke akaun syarikat itu serta turut menghantar tangkapan skrin rekod pembayaran palsu.

"Tanpa memeriksa terlebih dahulu, Guo terus membuat dua pembayaran mengikut jumlah yang diminta. Mangsa menjelaskan dia tidak berasa ragu-ragu kerana individu tersebut sememangnya mempunyai paras wajah persis rakannya," jelas laporan itu lagi.

Tetapi, Guo hanya menyedari dia telah ditipu apabila menghubungi rakannya yang menjelaskan tidak tahu-menahu tentang perkara itu.

Mangsa terus bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa dan memaklumkan kepada salah sebuah bank supaya membatalkan transaksi berkenaan dan dia berjaya memperoleh semula 3.4 juta yuan (RM2.2 juta).

Usaha untuk menjejaki scammer itu bagaimanapun sukar kerana Guo tidak mengenali identiti sebenar pelaku.

Risiko teknologi AI digunakan untuk tujuan jahat telah dibangkitkan banyak pihak sejak ChatGPT dilancarkan OpenAI pada November 2022.

Chatbot popular itu tidak tersedia di China, namun pengguna boleh mendapatkan akses perisian Amerika itu melalui rangkaian peribadi maya.

Beijing telah mengumumkan rancangan bercita-cita tinggi untuk menjadi peneraju AI global menjelang 2030 yang menyaksikan sebilangan firma teknologi seperti Alibaba, NetEase dan ByteDance yang merupakan syarikat induk TikTok kini berlumba-lumba untuk membangunkan produk sama.

Baru-baru ini, pihak berkuasa di wilayah Gansu telah mengambil langkah tegas terhadap seorang lelaki yang menggunakan ChatGPT untuk menghasilkan berita palsu tentang nahas bas yang kemudiannya menjadi tular di media sosial.

Di bawah undang-undang yang mengawal selia deepfake berkuat kuasa Januari lalu, sebarang penggunaan teknologi untuk menghasilkan, menerbitkan atau menghantar berita palsu adalah dilarang.

Draf undang-undang yang dikemukakan pada bulan lalu oleh pengawal selia internet Beijing juga menghendaki kesemua produk AI generatif menjalani 'penilaian keselamatan' sebelum dikeluarkan kepada umum. - AFP