Ladang ayam diberi tempoh seminggu bersih sistem kumbahan

Bakri (dua dari kanan) dan Veerapan (dua dari kiri) ketika meninjau sekitar ladang penternakan ayam di Gemencheh pada Ahad.
Bakri (dua dari kanan) dan Veerapan (dua dari kiri) ketika meninjau sekitar ladang penternakan ayam di Gemencheh pada Ahad.
A
A
A

TAMPIN - Sebuah ladang penternakan ayam di Gemencheh diberi tempoh tujuh hari bermula Ahad untuk membersihkan dan menambah baik sistem kumbahan yang dipercayai menyebabkan pencemaran di Sungai Air Salak, di sini.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya menerima aduan berhubung masalah pencemaran air di sungai itu.

"Pengusaha ladang berkenaan perlu memastikan air dikeluarkan dalam keadaan bersih dan mematuhi standard ditetapkan.

"Sekiranya masih gagal serta notis sudah dikeluarkan sebanyak tiga kali, tindakan undang-undang akan diambil," katanya pada sidang media selepas meninjau ladang berkenaan pada Ahad.

Hadir sama Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan.

Bakri berkata, ladang tersebut turut diarah memberhentikan operasinya sementara waktu sehingga pihak berkuasa benar-benar berpuas hati dengan tindakan susulan yang diambil oleh pengusahanya.

"Secara keseluruhannya, terdapat 202 buah ladang atau kilang ayam di negeri ini dan kesemuanya diharap mematuhi syarat-syarat ditetapkan terutama membabitkan isu alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Veerapan berkata,, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengambil sampel air Sungai Anak Salak yang tercemar dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Artikel Berkaitan:

"Laporan itu dijangka mengambil masa dua minggu hingga sebulan bagi mengetahui keputusan sampel air yang diambil pada hari ini," katanya.

Menurutnya, hasil semakan juga mendapati pihak ladang itu disenaraikan di bawah proses pemutihan kilang di Negeri Sembilan pada 16 Julai lepas dengan denda sebanyak RM210,960 serta diberi lesen sementara untuk beroperasi.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan penduduk kecewa apabila Sungai Air Salak tercemar akibat air kumbahan dari ladang ternakan ayam berhampiran.

ARTIKEL BERKAITAN: Sungai tercemar, bau busuk ganggu penduduk