Rawatan kumbahan yang cekap

Demi kelangsungan dan kelestarian alam sekitar

A
A
A

IWK memastikan enapcemar dari tangki septik diproses dengan betul, cekap dan selamat.
IWK memastikan enapcemar dari tangki septik diproses dengan betul, cekap dan selamat.

Semenjak tahun 2014, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah mengalas amanah bagi membangun dan menyelenggara sistem pembetungan yang moden dan cekap untuk penduduk Malaysia.

IWK bertanggungjawab memastikan air kumbahan dirawat sebelum dilepaskan semula ke dalam sistem pengairan seperti parit, sungai atau laut. Tanpa proses rawatan, air kumbahan yang tidak dirawat pastinya akan mencemarkan sumber air dan alam sekitar, seterusnya akan menggugat kesihatan awam dan pertumbuhan ekonomi negara.

Di Malaysia, terdapat dua jenis sistem pembetungan utama yang diguna pakai bagi menyalurkan air kumbahan iaitu sistem perkhidmatan pembetungan bersambung dan sistem pembetungan tradisional seperti tangki septik, tandas palong atau curah dan sebagainya.

Pelanggan yang menggunakan perkhidmatan pembetungan bersambung mempunyai saluran paip pembetungan yang disambung terus dari premis ke loji rawatan kumbahan awam melalui rangkaian paip pembetungan bawah tanah.

Sehingga hari ini, IWK menyelenggara lebih kurang 22,000 kilometer rangkaian paip pembetungan bawah tanah seluruh Semenanjung Malaysia. IWK juga bertanggungjawab bagi operasi dan penyelenggaraan kira-kira 7,347 buah loji rawatan kumbahan awam.

Bagi sistem pembetungan tradisional, terdapat beberapa jenis tangki septik yang masih diguna pakai seperti tangki septik individu, tandas curah, palong atau kerek dan tangki septik komunal. Tangki septik adalah sistem pembetungan tidak bersambung yang digunakan oleh premis untuk menyimpan air kumbahan dan enapcemar secara sementara.

Enapcemar yang memasuki tangki ini akan mendap ke dasar tangki dan air yang bersih akan mengalir keluar berhampiran permukaan atas tangki menuju ke longkang atau parit. Ini adalah proses biologi semula jadi yang lama kelamaan, tangki tersebut akan penuh dan perlu dikosongkan secara berkala iaitu sekurang-kurangnya dua tahun sekali, tertakluk kepada kapasiti tangki dan isi rumah.

Pengosongan tangki septik adalah penting bagi mengelak enapcemar terkumpul menjadi penuh dan keras, sehingga boleh memudaratkan alam sekitar dan sistem pembetungan di premis berkenaan.

Adalah penting juga bagi pengguna memastikan kontraktor yang dipilih untuk melakukan tugasan pengosongan tangki septik melupuskan enapcemar dengan cara yang betul.

IWK memastikan air kumbahan dirawat dengan baik dan selamat sebelum disalurkan semula ke sumber air.
IWK memastikan air kumbahan dirawat dengan baik dan selamat sebelum disalurkan semula ke sumber air.



Oleh kerana itu, dengan menggunakan perkhidmatan IWK, enapcemar yang telah disedut akan melalui proses yang betul, cekap dan selamat, bagi memastikan sisa kumbahan tidak mencemarkan sumber air negara dan alam sekitar.

Dalam merawat air kumbahan, terdapat beberapa proses bagi memastikan air kumbahan selamat untuk dilepaskan semula ke sumber air.

Apabila sisa kumbahan memasuki loji rawatan kumbahan IWK, ianya akan dimulakan dengan proses pra-rawatan iaitu proses penyingkiran sampah sarap dan pepejal besar yang terdapat di dalam air kumbahan seperti pasir dan minyak. Pra-rawatan ini diperlukan supaya dapat memperolehi keadaan air yang sesuai untuk proses selanjutnya.

Kemudian, rawatan primer akan dijalankan iaitu lanjutan daripada proses Pra-Rawatan. Batu-batu halus dan pasir yang tidak dapat dikeluarkan secara mekanikal semasa pra-rawatan akan disingkir melalui teknik pemendapan.

Pada masa yang sama, penyingkiran minyak dan gris terus dilakukan menerusi proses ini. Setelah proses ini selesai, air kumbahan tersebut akan melalui proses rawatan sekunder yang mana air kumbahan akan masuk ke dalam tangki pengudaraan (aeration tank) dan buih udara halus daripada peresap tenggelam (diffuser) akan dimasukkan.

Pepejal dari dalam air kumbahan akan berada di dalam keadaan terampai (suspended state) dan bakteria di dalam air kumbahan akan memecahkan bahan-bahan organik. Proses pengudaraan ini mengambil masa selama 18 hingga 24 jam.

Proses terakhir yang dilalui ialah proses pemendapan di tangki ‘clarifier’. Pepejal yang tertinggal dibiarkan mendap ke bawah tangki dan akan dibawa ke ‘sludge dewatering machine’.

Enapcemar ringan yang terapung akan dikumpul untuk rawatan semula dan dikeringkan sebelum dapat dihantar ke ‘landfill’ atau diproses sebagai baja atau perapi tanah. Air kumbahan yang telah dirawat (efluen) pula selamat untuk disalurkan semula ke dalam sistem pengairan.

Rawatan air kumbahan yang cekap adalah sangat penting bagi memastikan air kumbahan dirawat dengan baik dan selamat supaya ia tidak mengancam alam sekitar. IWK sendiri merawat lebih daripada 6.8 juta meter padu air setiap hari, bersamaan dengan kira-kira 2,800 kolam renang bersaiz olimpik yang dihasilkan oleh lebih kurang 29 juta penduduk setara.

Tanggungjawab ini tidak hanya boleh digalas oleh IWK sahaja tanpa sokongan pengguna. Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak dengan tidak membuang objek, minyak dan sampah sarap di saluran paip di premis anda terutamanya ke dalam lubang tandas.

Untuk keterangan lanjut berhubung perkhidmatan IWK, layari iwk.com.my.