Kerajaan tambah baik sistem subsidi diesel

Anwar ketika sidang media selepas mempengerusikan Pasca Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil 1/2023 di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Anwar ketika sidang media selepas mempengerusikan Pasca Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil 1/2023 di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sistem pemberian subsidi diesel sedia ada perlu diperbaiki, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana katanya tanggungan subsidi negara melonjak kepada RM13 bilion pada tahun lalu dan penggunaan diesel melonjak 37.7 peratus iaitu 6.1 billion liter kepada 8.4 billion liter tahun sama.

"Peningkatan mendadak penggunaan diesel berbanding jumlah kenderaan diesel membayangkan berlaku ketirisan melalui penyeludupan yang perlu ditangani segera," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Majis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di bangunan Perdana Putra, di sini pada Isnin.

Meskipun sistem itu ditambah baik, Anwar berkata, pemberian subsidi diesel tetap diteruskan namun harus melalui kawalan.

"Kerajaan sedang memperincikan jenis-jenis kenderaan yang akan menikmati subsidi diesel.

"Siapa yang perlu atau boleh guna (diesel) tapi jangan ambil dan jual kepada kilang dan kapal asing di tengah lautan," katanya.

Menurutnya, subsidi yang menggunakan wang cukai daripada rakyat telah digunakan oleh kartel penyelewengan serta penyeludupan untuk menguntungkan segelintir pihak.

"Oleh itu, MTEN bersetuju untuk memperluaskan pemberian diesel bersubsidi kepada sektor pengangkutan darat (barangan) melalui mekanisme fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)," katanya.

Beliau berkata, langkah itu akan memastikan sektor logistik yang menguruskan edaran barangan menerima diesel bersubsidi, sebagai sebahagian dari usaha kerajaan mengekang inflasi.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan kekal untuk tidak menaikkan harga elektrik bagi golongan isi rumah M40 dan B40.

Sebaliknya bermula Januari lepas, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi memberikan subsidi penuh tarif elektrik kepada syarikat-syarikat besar, kecuali syarikat berkait pertanian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang menggunakan tenaga elektrik tinggi.