Polis Evo 3 catat kutipan RM25 juta dalam tempoh seminggu

Polis Evo 3 berjaya meraih RM25 juta dalam tempoh tujuh hari sejak ia ditayangkan secara rasmi di pawagam. - Foto Awani
Polis Evo 3 berjaya meraih RM25 juta dalam tempoh tujuh hari sejak ia ditayangkan secara rasmi di pawagam. - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Cinemas, Polis Evo 3 berjaya meraih RM25 juta dalam tempoh tujuh hari sejak ia ditayangkan secara rasmi di pawagam.

Angka itu sekali gus memintas jumlah kutipan 'box office' Polis Evo 2 iaitu RM23 juta dalam tempoh 44 hari.

Menurut Penerbit Eksekutifnya, Raja Jastina Raja Arshad, jumlah itu membuktikan prestasi cemerlang yang jauh lebih pantas berbanding terbitan sebelum ini.

“Kutipan Polis Evo 3 telah memecah rekod kutipan keseluruhan Polis Evo 2 dalam tempoh satu minggu. Momentum positif ini memperlihatkan prestasi yang lebih pantas.

“Terima kasih kepada semua yang telah menonton filem Polis Evo 3 di pawagam. Tambah mengujakan, kami turut menerima maklum balas daripada penonton yang telah ulang menonton Polis Evo 3.

“Kami akan terus fokus dalam memantapkan aktiviti pemasaran agar filem Polis Evo 3 dapat dinikmati oleh penonton dari pelbagai latar, kerana kami percaya filem ini menepati cita rasa penonton Malaysia,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Filem arahan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Polis Evo 3 mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza. - Awani