Najib dinasihat tak sebar berita palsu penjualan aset LTAT

 Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan supaya memberikan tumpuan kepada kes-kes rasuah yang sedang dihadapinya daripada terus menerus menyebarkan berita palsu mengenai penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang.

Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar berkata, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan hanya sekadar membaca tajuk mengenai pengumuman Boustead Holdings Bhd. (BHB) kepada Bursa Malaysia mengenai penjualan aset milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu.

Jelas beliau, Najib tidak langsung membaca isi kandungan pengumuman itu sehingga menyebabkan beliau gagal memahami penjelasan Pejabat Menteri Pertahanan mengatakan penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang masih belum dimuktamadkan.

"Pengumuman kepada Bursa Malaysia hanya menyatakan tentang Surat Tawaran dan Surat Penerimaan untuk penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik Boustead kepada sebuah syarikat.

"Pengumuman kepada Bursa Malaysia itu juga dengan jelas menyatakan Surat Tawaran itu tertakluk kepada beberapa syarat iaitu pembeli diberikan masa eksklusif selama satu bulan bermula 19 Februari 2019 untuk melakukan penilaian atau aktiviti "due diligence" kepada hotel dan BHB akan memberikan segala bantuan yang diperlukan dalam melakukan aktiviti penilaian tersebut," katanya menerusi satu kenyataan.

Selain itu, BHB tidak seharusnya memberikan respon kepada (selain menolak) sebarang siasatan, perbincangan, cadangan atau tawaran untuk atau untuk meneruskan, membuat tawaran, rundingan atau mengadakan perbincangan atau mengadakan sebarang perjanjian atau persefahaman dengan pihak lain melibatkan hotel semasa masa eksklusif.

"Syarat itu turut menetapkan tentang pelaksanaan perjanjian jual beli bagi kedua-dua pihak semasa masa eksklusif dan syarat-syarat yang diperuntukkan bagi pelupusan cadangan akan termasuk, antara lain, kelulusan berkanun dan pengawalseliaan yang dikehendaki di bawah undang-undang Malaysia dan Bursa Singapura," katanya.

Baru-baru ini Najib mempersoalkan kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Pertahanan berhubung isu penjualan hotel tersebut dan menuduh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tidak mengetahui BHB sudah buat pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia pada hari Selasa minggu lepas.

Artikel Berkaitan: