SAM gesa periksa semua cerun di Pulau Pinang

Berlaku tanah runtuh di Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir di Jalan Pantai Acheh, Balik Pulau selepas hujan lebat lebih sejam di kawasan tersebut, petang Isnin. Gambar kecil: Meenakshi Raman
Berlaku tanah runtuh di Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir di Jalan Pantai Acheh, Balik Pulau selepas hujan lebat lebih sejam di kawasan tersebut, petang Isnin. Gambar kecil: Meenakshi Raman
A
A
A

GEORGETOWN- Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta agar semua cerun di Pulau Pinang sentiasa diperiksa bagi memastikan ia kukuh agar tidak berlaku kejadian tidak diingini.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, perkara itu perlu untuk mengelak tanah runtuh terutamanya ketika perubahan iklim seperti ribut dan hujan lebat.

Menurutnya, SAM tetap dengan pendirian tidak menyokong sebarang pembangunan yang melibatkan kawasan cerun atau lereng bukit kerana bimbang perkara-perkara yang tidak dingini berlaku serta memusnahkan ekosistem bukit.

"Perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Mufti Pulau Pinang serta Pusat Falak Sheikh Tahir yang mana kerosakan yang berlaku perlu dibaik pulih dengan segera untuk menjamin keselamatan dan kestabilan cerun.

"Tindakan mitigasi perlu dilakukan agar masalah ini tidak lagi berulang pada masa akan datang. Sekiranya kawasan itu melibatkan penduduk yang tinggal berdekatan, mereka perlu dipindahkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Meenakshi berkata demikian bagi mengulas kejadian tanah runtuh di Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir di Jalan Pantai Acheh, Balik Pulau pada petang Isnin.

Pada jam 1 petang, berlaku tanah runtuh selepas hujan lebat lebih sejam di kawasan tersebut.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila dua hingga tiga buah batu besar menggelongsor dari kedudukannya ke jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, bomba mengesahkan bangunan tersebut tidak selamat untuk diduduki.

Meenakshi berkata, daripada sumber diperoleh, punca kejadian tersebut adalah disebabkan oleh kegagalan 'stone pitching' bagi perlindungan cerun akibat hujan lebat sehingga menyebabkan batu-batu besar menggelongsor.

"Malah info daripada sumber yang sama juga menerangkan pihak Jabatan Mufti pada tahun 2016 atau 2017 telah diberi cadangan untuk penambahbaikan perlindungan cerun di kawasan tersebut.

"Bagaimanapun, mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang dikemukakan pihak tertentu termasuk Cawangan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur menyebabkan Jabatan Mufti menolak atau tidak memberi kelulusan bagi cadangan tersebut," katanya.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, JKR akan menggunakan kaedah yang lebih berdaya tahan bagi menjamin keselamatan dan kestabilan cerun yang terlibat dengan insiden itu.

Katanya, JKR akan menggunakan kaedah 'tieback wall' bagi membaiki cerun di kawasan berkenaan oleh kontraktor yang akan dilantik dalam tempoh terdekat.

"Kaedah 'stone pitching' yang digunakan sebelum ini tidak cukup kuat untuk memberi perlindungan kepada cerun," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN:Bangunan Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir tidak selamat diduduki