Mahkamah tolak permohonan Husam dapatkan kebenaran rayuan

Husam hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Kelantan, minggu lalu. - Foto Bernama
Husam hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Kelantan, minggu lalu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi memperoleh injunksi interlokutori berkaitan akses bangunan Wisma Tok Guru, sementara menunggu penyelesaian dua tuntutan mahkamah.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Tan Sri Ramly Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Rohana Yusuf menolak permohonan itu dengan kos sebanyak RM20,000.

Husam memohon mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan usahanya untuk mendapatkan injunksi interlokutori bagi menghalang mana-mana pihak daripada mengakses bangunan Wisma Tok Guru di Kota Bahru, Kelantan, sehingga status quo pemilikan bangunan berkenaan diputuskan oleh mahkamah.

Beliau memohon perintah injuksi itu sementara menunggu dua kes di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Isu perebutan tanah itu bermula selepas tanah tersebut, yang asalnya dimiliki bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang menamakan isterinya sebagai pemilik, dijual kepada Mohd Yasin yang juga Setiausaha Kerja Pas Kelantan, dengan harga RM700,000.

Husam yang merupakan bekas ADUN Salor, mendakwa telah mendapat kebenaran daripada pemilik asal tanah berkenaan untuk digunakan sebagai pusat khidmatnya.

Beliau memfailkan saman pemula terhadap Pas, memohon pengisytiharan bahawa beliau mempunyai hak untuk menduduki tanah itu selepas pemindahan pemilikan.

Mohd Ysin juga memfailkan saman terhadap Husam memerintahkannya untuk mengosongkan premis itu.

Artikel Berkaitan:

Pasukan peguam yang diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Husam manakala Mohd Yasin diwakili pasukan peguam diketuai Tun Salleh Abbas. - Bernama