Buktikan PM hilang majoriti dengan akuan bersumpah: Pakar

Shamrahayu
Shamrahayu
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan melihat bukti yang menunjukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang kepercayaan majoriti sebelum menitahkan semua ahli Parlimen menghadap Seri Paduka Baginda.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, bukti itu boleh dilakukan dengan mempersembahkan akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen bukan hanya sekadar pengumuman daripada parti politik.

Jelasnya, bukti yang dinyatakan itu terpakai untuk menentukan keabsahan Perdana Menteri di luar Dewan Rakyat.

"Dari segi pengalaman negara biasanya Yang di-Pertuan Agong tidak mengambil tindakan sebegitu (panggil ahli Parlimen menghadap untuk melihat siapakah individu yang mempunyai sokongan).

"Jadi sebolehnya ada bukti dahulu yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti.

"Tapi dari segi umumnya Perdana Menteri (Muhyiddin) masih lagi mempunyai kepercayaan majoriti sehinggalah ia dibuktikan sebaliknya," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian edisi ke-276 bertajuk ' Apa Cer Politik Malaysia' yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Selasa.

Mengulas lanjut Shamrahayu berkata, pengumuman daripada parti politik bahawa seseorang Perdana Menteri telah hilang majoriti tidak dikira sebagai pengumuman yang boleh mengikat Seri Paduka Baginda untuk memanggil ahli Parlimen.

"Pada saya, dari segi undang-undang sekarang diterima pakai ialah SD dari setiap ahli Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Sebab kita balik kepada konsep dalam Perlembagaan ialah kepercayaan majoriti ialah kepercayaan daripada Ahli Dewan dan bukan kepercayaan parti politik," katanya.