X

Kindly register in order to view this article
!

Kontak rapat penyumbang utama kes Covid-19 terus meningkat di Sabah

Masidi
A
A

KOTA KINABALU - Saringan Kontak Rapat terus menjadi penyumbang peratusan tertinggi kes baharu Covid-19 di Sabah iaitu 48.02 peratus atau 497 kes daripada 1,035 jumlah kes baharu direkodkan di Sabah hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, Saringan Bergejala pula menyumbang kes kedua tertinggi 251 kes atau 24.02 peratus daripada kumulatif harian.

“Ini satu petanda jelas bahawa virus Covid-19 sudah pun berada dalam komuniti dan jangkitan berlaku secara sporadik iaitu tidak tahu siapa yang menjangkiti atau bagaimana boleh terjangkit.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui agensi penguatkuasaan akan meningkatkan pemantauan bagi memastikan pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) sambil meningkatkan keupayaan memberi vaksinasi kepada semua penduduk pada kadar lebih cepat,” katanya dalam kenyataan malam ini (Sabtu).

Beliau berkata, 76.52 peratus daripada kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2.

“Kategori 1, iaitu 380 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 412 kes sekadar mengalami simptom ringan. Kedua-kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Masidi berkata, Kota Kinabalu mencatat bilangan tertinggi iaitu 212 kes, diikuti Tawau dengan 139 kes.

“Daerah-daerah lain yang merekodkan kes melebihi 30 kes ialah Tuaran dengan 72 kes, Telupid (71),Kota Marudu (70), Penampang (67), Sandakan (52), Keningau (49), Beaufort (45), Papar (42), Beluran (35), Sipitang (33) dan Kinabatangan (33),” katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap rasmi Covid-19 Sabah berkata dua kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Gambaron Dua, Telupid dan Kluster Jalan Corak, Tongod.

“Kluster Gambaron Dua, Telupid adalah kluster komuniti yang dipercayai menjangkit dalam kalangan jemaah masjid seterusnya merebak kepada ahli keluarga. Kes indeks adalah lelaki berumur 29 tahun yang bergejala sejak 22 Julai sebelum disahkan positif di Klinik Kesihatan pada 23 Julai lepas.

"Kluster Jalan Corak, Tongod merekodkan satu kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 12 kes. Kes indeks bagi kluster kategori komuniti ini mula dikesan apabila suri rumah berumur 30 tahun yang bergejala demam, batuk dan selesema disahkan postif Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Tongod pada 26 Julai lepas," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!