X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Enam kluster baharu direkodkan di Sabah

Sebanyak enam kluster baharu Covid-19 direkodkan di Sabah pada Ahad dengan tiga daripadanya melibatkan jangkitan di tempat kerja, manakala selebihnya membabitkan kluster komuniti dan aktiviti keagamaan. Gambar hiasan
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak enam kluster baharu Covid-19 direkodkan di Sabah pada Ahad dengan tiga daripadanya melibatkan jangkitan di tempat kerja, manakala selebihnya membabitkan kluster komuniti dan aktiviti keagamaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, tiga kluster tempat kerja yang dikesan itu ialah Kluster Gipan Kolombong di sini yang mencatatkan 40 kes kumulatif, Kluster Tinabau di Kinabatangan (26 kes) dan Kluster Simpang Tiga di Ranau (14 kes).

"Kluster Gipan Kolombong tercetus di sebuah premis membancuh simen dengan kes indeks merupakan seorang pekerja lelaki berusia 28 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 21 Julai lepas, manakala Kluster Tinabau dikesan pada 19 Julai lepas dengan kes indeks seorang lelaki berusia 49 tahun yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Masidi berkata, Kluster Simpang Tiga dikesan merebak di sebuah pusat perubatan dengan kes indeksnya melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dikesan positif pada 18 Julai lepas.

Beliau berkata, kluster komuniti pula membabitkan Kluster Sogo-Sogo di Kampung Sogo-Sogo, Tongod yang merekodkan sembilan kes dan Kluster Jalan Tungku di Lahad Datu melibatkan jangkitan 35 kes.

Menurut Masidi, kluster keagamaan pula membabitkan Kluster Gerbang Kauran di Keningau, disyaki berpunca daripada pergaulan dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid dan ahli keluarga dengan merekodkan sembilan kes kumulatif Covid-19 hingga kini.

Sabah pada Ahad mencatat 818 kes positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 79,470 kes, manakala 537 pesakit turut dilaporkan sembuh menjadikan jumlah kumulatif 73,597 pesakit sembuh, katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!