MOSTI sahkan Selangor sudah mulakan program imunisasi

Khairy (tiga dari kanan) diiringi Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) meninjau PPV Tanjong Karang di sini pada Isnin.
Khairy (tiga dari kanan) diiringi Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) meninjau PPV Tanjong Karang di sini pada Isnin.
A
A
A

TANJONG KARANG - [DIKEMAS KINI] Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengesahkan Selangor sudah mengendalikan program imunisasi negeri itu pada peringkat percubaan melalui aplikasi SeLangkah.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemberian vaksin itu pada permulaan hanya dilakukan secara perintis bagi menilai kelancaran sistem pada aplikasi berkenaan.

"Sebab itu kita lepaskan dulu pemberian vaksin pada kadar paling minimum kepada Selangor untuk mereka memulakan program imunisasi di peringkat negeri," katanya ketika sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tanjong Karang di sini pada Isnin.

Khairy berkata, perkara itu juga sudah dibincangkan beliau pada pertemuannya dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Saya telah bersetuju dengan permintaan Menteri Besar untuk memulakan program vaksinasi Selangor," katanya.

Bagaimanapun, katanya, program itu perlu diselaraskan dari segi pelaporan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) agar tidak bertindih.

"Mereka yang sudah dapat vaksin daripada Selangor perlu direkodkan dalam aplikasi MySejahtera supaya angka keseluruhan (pemberian vaksin) dapat dilaporkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Selangor tingkat pemberian 130,000 dos sehari mulai Julai

Artikel Berkaitan:

Ditanya tentang tular di media sosial berhubung pembelian vaksin melalui aplikasi SeLangkah, Khairy berkata, program itu telah bermula di satu PPV pada Ahad dan ia secara tidak langsung membantu mempercepatkan proses imunisasi kebangsaan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya meminta pembekal vaksin melakukan penghantaran kepada PICK terlebih dahulu berbanding menjualnya di Selangor atau pun di negeri dan syarikat lain.

Ditanya adakah penjualan dua dos vaksin pada harga RM350 seperti dalam aplikasi SeLangkah, Khairy berkata, keputusan itu ditetapkan oleh kerajaan Selangor.

"Itu keputusan Selangor, kita ada perjanjian (dari segi harga vaksin) yang tidak boleh diumumkan, tetapi tidaklah sampai RM300," katanya.

Terdahulu tular di media sosial seorang individu tampil memaklumkan sudah membayar RM350 untuk vaksin Sinovac bagi mendapatkan vaksin dengan segera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!