Hanya satu kes jangkitan Covid-19 melepasi tahap empat setelah divaksin

Hanya satu kes jangkitan Covid-19 melepasi tahap empat membabitkan seorang petugas kesihatan yang telah mendapat suntikan lengkap vaksin Covid-19.- Foto Bernama
Hanya satu kes jangkitan Covid-19 melepasi tahap empat membabitkan seorang petugas kesihatan yang telah mendapat suntikan lengkap vaksin Covid-19.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hanya satu kes jangkitan Covid-19 melepasi tahap empat membabitkan seorang petugas kesihatan yang telah mendapat suntikan lengkap vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia hasil kaji selidik kes jangkitan dalam kalangan pekerja kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kes-kes jangkitan lain hanya pada tahap satu atau dua sahaja," katanya.

Menurutnya, data tersebut menunjukkan tahap keberkesanan vaksin Covid-19 terhadap individu terbabit.

"Ini menunjukkan vaksin ini sangat baik dan berkesan," katanya pada sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas mengenai situasi semasa penularan Covid-19, Dr Adham berkata, minggu epid ke-24 mencatatkan pengurangan sebanyak 6.5 peratus atau 38,911 kes berbanding minggu epid sebelumnya.

Beliau berkata, KKM turut merekodkan sebanyak 68,462 kes purata mingguan iaitu pengurangan sebanyak 16 peratus berbanding minggu epid ke-23.

"Kadar kematian membabitkan kes Covid-19 sepanjang minggu epid ke-24 ialah sebanyak 504 kes iaitu pengurangan sebanyak 8.9 peratus berbanding minggu epid sebelumnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sebanyak 910 kes purata dicatatkan pada tempoh sama iaitu peningkatan sebanyak 0.6 peratus.

Bagaimanapun, katanya, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan berkurangan sebanyak 0.9 peratus iaitu 450 kes.

Menurutnya, sebanyak 561,156 ujian pengesanan Covid-19 juga dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

"Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 10.9 peratus berbanding minggu epid sebelumnya, sementara kadar positiviti ujian meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 6.9 peratus," katanya.