JKNS, polis siasat kes kematian mengejut dua petugas kesihatan

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan polis menjalankan siasatan berhubung kes kematian mengejut dua petugas kesihatan di Klang baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian petugas yang berkhidmat di dua fasiliti kesihatan berbeza masing-masing pada 4 dan 6 Jun lalu.

Menurut beliau, situasi itu dianggap menyedihkan kepada semua terutama ahli keluarga dan kenalan rapat individu tersebut.

"Pihak JKNS telah menjalankan siasatan bagi kedua-dua kes dan polis juga sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kematian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Sha'ari berkata, semua pihak dinasihatkan mengelak daripada membuat sebarang spekulasi dan tidak menyebarkan maklumat berkaitan dengan dua kes berkenaan.

Katanya, orang ramai diminta memberikan ruang privasi kepada mereka yang menempuh tempoh sukar berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, beliau mengingatkan mana-mana individu yang mengalami masalah emosi supaya tampil mendapatkan bantuan sokongan daripada golongan profesional.

Katanya, mereka boleh menghubungi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental, di 15555 yang dikendalikan oleh Pegawai Psikologi (Kaunseling) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Talian itu beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam," katanya.