Krisis gaji 'hampir' runtuhkan institusi tentera Lubnan

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KRISIS ekonomi yang meruncing di Lubnan masih gagal diselesaikan oleh kerajaan sehingga menyebabkan nilai gaji anggota-anggota tentera negara berkenaan merosot teruk sedangkan harga barangan dan makanannya meningkat tinggi di pasaran.

Nilai mata wang tempatan negara itu ketika kini merosot sebanyak 90 peratus di pasaran gelap dan ia merupakan ancaman terbesar kepada kestabilan negara tersebut sejak meletusnya perang saudara dari tahun 1975 hingga 1990.

Berikutan krisis tersebut, askar-askar Lubnan hilang kuasa beli berikutan nilai gaji yang mereka terima kini merosot sehinggakan ada seorang pegawai tentera yang terpaksa meminta bantuan kewangan daripada bapanya buat pertama kalinya.

Menurut portal berita The Lorient Today baru-baru ini, seorang bekas pegawai tentera berkata, seorang anaknya yang bekerja sebagai pegawai tentera yang berusia 32 tahun dan memperoleh pendapatan 2,200,000 pound Lubnan sebulan (RM5,970) terpaksa meminta wang daripadanya buat pertama kali.

Seorang askar biasa di negara itu memperoleh pendapatan kira-kira 1.2 juta pound Lubnan (RM3,256) sebulan yang bersamaan hanya AS$80 (RM331) berdasarkan kepada tukaran mata wang dolar di pasaran gelap.

Krisis ekonomi itu juga telah menyebabkan bajet ketenteraan untuk peralatan dan penyelenggaran terpaksa dikurangkan sejak tahun lalu dan ia sekali gus mengancam kestabilan negara berkenaan.

Menurut Persatuan Perlindungan Pengguna Lubnan iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan, pada tahun lalu, harga makanan telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 72 peratus manakala nilai mata wang negara berkenaan tetap merosot.

Satu kilogram (kg) daging kambing yang dijual pada tahun lalu pernah mencecah kira-kira AS$53 (RM219) meningkat daripada harga yang lebih rendah sebelum ini iaitu AS$20 (RM82) manakala harga 1 kg daging pula ialah AS$33 (RM136) daripada AS$20 (RM82).

Artikel Berkaitan:

Justeru, berikutan kenaikan harga daging itu, tentera Lubnan terpaksa menarik balik menu masakan daging kepada askar-askarnya yang masih lagi menjalankan tugas untuk negara.

Ketua Tentera Lubnan, Jeneral Joseph Aoun pernah mendedahkan baru-baru ini bahawa institusi keselamatan negara itu akan runtuh jika situasi ekonomi di negaranya masih tidak berubah.

Aoun dilaporkan berkata, moral askar-askar dan tekanan yang dihadapi mereka ekoran situasi ekonomi dan gaji mereka mungkin menyebabkan keruntuhan institusi yang menjaga keselamatan di negara tersebut.

Bagi mengurangkan kesan penderitaan ekonomi yang dihadapi oleh askar-askar negaranya, tentera negara tersebut terpaksa mendapatkan bantuan dari negara-negara sekutu Lubnan,

Beliau juga menyatakan kesediaannya untuk pergi sehingga ke hujung dunia untuk mendapatkan bantuan bagi membolehkan tentera Lubnan terus berfungsi.

Terdapat juga spekulasi bahawa askar-askar negara itu mahu melarikan diri daripada bertugas ekoran situasi ekonomi yang teruk itu dan nilai gaji yang diterima mereka tidak sepadan dengan kos kehidupan yang naik mendadak.

Seorang anggota pasukan keselamatan negara tersebut dilaporkan berkata oleh sebuah agensi berita asing bahawa jika keadaan ekonomi masih tidak berubah, dia akan melarikan diri daripada tugasnya.

Seorang penganalisis tentera Lubnan, Aram Nerguizian yang bertugas di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa serta Pusat Asia Barat Carnegie pula menyatakan pihak tentera telah kehilangan lebih 3,000 anggota sejak 2019.

Keadaan itu menyebabkan bilangan askar di negara tersebut berkurangan kepada 80,874 orang pada permulaan tahun ini.

Tentera Lubnan merupakan satu institusi yang masih dihormati oleh penduduk di negara itu berbanding dengan ahli-ahli politik yang masih berbalah dan belum mampu membentuk sebuah kerajaan sejak Oktober tahun lalu.

Sejak letupan pelabuhan Beirut yang menyebabkan lebih 200 orang terbunuh pada Ogos tahun lalu, tentera Lubnan bergantung kepada sumbangan makanan dari negara-negara sekutunya.

Berikutan krisis ekonomi yang masih belum ada jalan penyelesaian, Perancis yang pernah menjajah negara tersebut bertindak mengetuai usaha-usaha antarabangsa bagi membantu Lubnan dengan penglibatan Amerika Syarikat (AS), Rusia, China, negara-negara Teluk dan negara-negara Eropah.

Negara-negara tersebut diminta supaya menyumbangkan makanan, bekalan perubatan, alat-alat ganti untuk peralatan ketenteraan dan minyak walaupun tidak diminta membayar gaji askar-askar Lubnan secara langsung.

Ekoran masalah ekonomi itu, AS masih kekal sebagai pembiaya terbesar tentera negara tersebut apabila ia meningkatkan pembiayaan sebanyak AS$15 juta (RM62 juta) menjadikan jumlah dana keseluruhan yang diterima Lubnan ialah AS$120 juta (RM497 juta) untuk tahun ini. - Agensi