X

Kindly register in order to view this article
!

Lindungi pelarian di Malaysia bantu tangani Covid-19

Perlindungan pelarian dan pendatang tanpa dokumen penting dalam usaha Malaysia melawan Covid-19. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Perlindungan pelarian dan pendatang tanpa dokumen penting dalam usaha Malaysia melawan Covid-19, jika tidak, ia akan menghalang pemulihan Malaysia daripada pandemik Covid-19 serta membahayakan rakyat negara ini.

Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar berpendapat, setiap pendekatan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa hanya akan mendorong pelarian dan pendatang tanpa dokumen bersembunyi dan menghalang mereka tampil membuat saringan dan divaksin, langkah penting dalam membendung jangkitan pada masyarakat.

"Kami mendesak kerajaan dan rakyat Malaysia untuk memimpin dengan teladan, melindungi para pelarian di sini serta memastikan hak dan keperluan asas mereka dipenuhi, terutama pada masa sukar pandemik Covid-19 ini," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kumpulan itu merujuk kepada pendirian tegas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin terhadap pendatang tanpa izin di negara ini. Kumpulan itu juga bimbang dengan cadangan Hamzah agar kem pelarian didirikan di Malaysia untuk menguruskan populasi mereka di negara ini.

"Membina kem bukan hanya memberi kesan trauma dan kebergantungan, tetapi juga akan melibatkan sumber awam yang besar dan menyekat pelarian daripada masyarakat lain," kata kumpulan itu.

Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar adalah sebuah majlis bebas, yang terdiri daripada beberapa personaliti terkenal, berpengetahuan dan prihatin daripada sektor awam dan swasta Malaysia. Ia ditubuhkan pada Mac 2021 untuk memberikan analisis yang kukuh dan boleh dipercayai kepada kerajaan dan masyarakat Malaysia mengenai isu-isu yang berkaitan dengan situasi di Myanmar dan kesannya kepada Malaysia, rantau ASEAN dan Asia. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!