X

Kindly register in order to view this article
!

Sayangkan ibu, anak bawa 'ratu hati' dapatkan vaksin Covid-19

Remditiun diiringi anaknya Rais selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Terbuka Kampung Bongkol Pitas yang terletak kira-kira 23 kilometer dari sini. -Foto Bernama
A
A

PITAS - Seawal jam 6.30 pagi lagi, seorang pemuda Rais Jipun, 39, bersiap-siap untuk membawa ibunya Remditiun Mangandon, 70, ke Program Vaksinasi Bergerak yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Bongkol, di sini.

Jarak antara kampungnya iaitu Kampung Mangkapon Darat ke dewan serbaguna itu kira-kira lapan kilometer mengambil masa perjalanan lebih kurang 30 minit kerana terpaksa melalui jalan raya tidak berturap.

Tujuan Rais yang juga seorang petani hanya satu iaitu untuk memastikan ‘ratu hati’nya itu menerima suntikan vaksin sebagai langkah perlindungan agar bebas daripada risiko jangkitan Covid-19 yang masih menular di Sabah dan seluruh negara.

“Saya mengambil inisiatif membawa bersama ibu mengambil vaksin kerana beliau masih berupaya dan sihat untuk melakukan kerja-kerja kampung walaupun sudah berusia. Ibu saya seorang petani dan dia banyak berjumpa orang untuk menjual hasil pertaniannya.

“Jadi, adalah paling bagus jika dia memperoleh vaksin dengan cepat agar dapat melindunginya daripada jangkitan Covid-19.

Pada awalnya ibu tidak berminat dan menolak menerima vaksin kerana takut jarum, tetapi setelah saya beri penerangan tentang kepentingan vaksin, dia bersetuju,” katanya kepada Bernama.

Rais dan ibunya merupakan antara kira-kira 300 penduduk kampung di sekitar Mukim Mapan-Mapan yang hadir ke program itu meskipun ada dalam kalangan mereka terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk sampai ke sana semata-mata ingin mendapatkan suntikan vaksin.

Selepas menerima suntikan vaksin, anak ketiga daripada enam bersaudara itu kemudian merakamkan gambar bersama ibunya sebagai kenangan selain dikongsikan kepada adik-beradik lain yang berada di bandar.

Nursyuhadah Mangukip, 26, dari Kampung Bongkol turut mengambil inisiatif sama dengan membawa ibunya Rinumbizal Masadoi, 63, menerima suntikan vaksin kerana prihatin tentang keselamatan dan kesihatan seterusnya mencegah ibu daripada dijangkiti wabak Covid-19.

Nursyuhadah, anak kesembilan daripada 10 beradik itu berkata mereka tidak memaksa ibunya untuk mengambil vaksin, namun setelah mengetahui adanya program vaksinasi dijalankan di kampungnya, ibunya sendiri membuat keputusan dan bersedia menerima suntikan.

“Ibu saya sendiri yang ingin mengambil vaksin. Dia sangat bersemangat dan begitu teruja kerana awal pagi lagi dia sudah bersiap-siap untuk bergerak ke program ini,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah Maynie Mositun, 34, dari Kampung Pungiton Polid berkata sesi kaunseling oleh pegawai perubatan bertugas sebelum seseorang individu mendapatkan suntikan, membantu untuk lebih menyakinkannya mengambil vaksin.

“Sesi kaunseling ini sangat bagus kerana kami boleh bertanya sekiranya ada alahan selepas mengambil vaksin apa yang harus dilakukan dan pegawai perubatan memberitahu boleh segera ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya berkongsi pengalaman menerima suntikan vaksin dos pertama pada program itu.

Sebanyak 250 dos dibawa Petugas Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 ke Program Vaksinasi Bergerak bagi Mukim Mapan-Mapan, namun, susulan sambutan cukup luar biasa daripada penduduk kampung, pemberian suntikan vaksin diberi keutamaan kepada warga emas dan mereka yang datang dari jauh.

Selain Mukim Mapan-Mapan, Program Vaksinasi Bergerak turut diadakan di satu lagi mukim dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka iaitu Mukim Pantai dan dua lagi mukim dalam DUN Pitas iaitu Mukim Pinggan-Pinggan dan Mukim Telaga.

Pitas adalah sebuah daerah terletak di utara Sabah, kira-kira 170 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan populasi penduduk kira-kira 42,000 orang yang rata-ratanya bergantung kepada sektor pertanian dan perikanan sebagai sumber rezeki utama. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!