'Populariti ayah ada membantu, ada membanding' - Anak Rais Yatim

Danni diangkat penyokong PN semasa penamaan calon DUN Klawang pada Sabtu.
Danni diangkat penyokong PN semasa penamaan calon DUN Klawang pada Sabtu.
A
A
A

JELEBU - Anak kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengakui perlu bekerja lebih kuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini untuk meraih undi.

Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Danni Rais berkata, beliau tidak menafikan populariti bapanya itu turut membantunya, namun tidak kurang juga yang membandingkan keupayaannya.

"Terus terang saya cakap kerja saya lebih susah dari yang lain, sebab mana- mana saya pergi orang akan bandingkan. Dia ini boleh ke buat kerja macam ayahnya?.

"Tetapi ayah selalu pesan 'life is not easy', dia selalu guna ayat ini, kalau inginkan sesuatu mesti kerja keras.

"Jadi saya tidak boleh ambil ringan, ayah saya Rais automatik orang akan undi, tidak. Saya perlu kerja keras supaya orang pun tau Danni Rais pun boleh buat kerja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kuala Klawang pada Ahad.

Beliau yang merupakan peguam berkata, penglibatannya dalam politik ini sudah 13 tahun dan ia bermula dengan pelbagai ujian serta rintangan sebelum diberi kepercayaan menjadi calon.

"Saya akan sentiasa menyampaikan matlamat dan mesej ayah kepada masyarakat iaitu sebagai orang Melayu harus menjaga orang Melayu, Islam tetapi tidak melupakan kaum lain termasuklah menghormati agama mereka," katanya,

Sementara itu, Danni berkata beliau memberi fokus kepada pembangunan, mempertingkatkan hubungan masyarakat melalui pelbagai program dan ekonomi tempatan sekiranya menang pada PRN ini.

"Banyak sebenarnya fokus saya tetapi secara ringkasnya itu antara yang akan diberi perhatian yang membabitkan kepentingan semua masyarakat termasuk kemudahan untuk anak muda beriadah," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pada PRN ini, Danni akan bertembung dengan sepupunya iaitu penyandang kerusi berkenaan dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Bakri Sawir yang merupakan anak saudara Rais.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bakri yang pertama kali bertanding menang dengan mendapat 4,296 undian ketika menentang Baharuddin Jali daripada Barisan Nasional (BN) yang mendapat 3,320 undi dengan majoriti undi sebanyak 976.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!