PRN: Anak Rais Yatim bertembung dengan sepupu

Danni
Danni
A
A
A

SEREMBAN - Anak kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim tidak dapat menolak pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini mempunyai kaitan dengan bapanya.

Danni, 36, yang dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang bagaimanapun berkata, ia bukanlah faktor utama kerana jika tidak, sudah lama namanya naik sebagai calon.

"Pastinya semua orang akan cakap apa yang saya dapat dalam hidup disebabkan ayah saya dan saya tak nafikan itu. Banyak contoh lain misalnya Datuk Mukhriz Mahathir, Lim Guan Eng dan juga ahli keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tapi saya akan buat terbaik dengan peluang diberi ini. Cumanya saya bernasib baik kerana ada ayah seperti Tan Sri Rais Yatim," katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Ketua Pemuda Bersatu Negeri Sembilan itu berkata, penglibatannya dalam politik sudah 13 tahun dan ia bermula dengan pelbagai ujian serta rintangan.

Malah katanya, pembabitan ahli keluarga dalam politik juga adalah perkara biasa.

Pada PRN ini, Danni akan bertembung dengan sepupunya iaitu penyandang kerusi berkenaan dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Bakri Sawir yang merupakan anak saudara Rais.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bakri yang pertama kali bertanding menang dengan mendapat 4,296 undian ketika menentang Baharuddin Jali daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 3,320 undi dengan majoriti undi sebanyak 976.

Mengulas mengenai pertembungan dengan sepupunya beliau berkata, perbezaan politik dalam kalangan ahli keluarga adalah perkara biasa.

"Kita bertanding dalam keadaan sihat, tidak ada nak serang peribadi dan sebagainya. Saya akan pamerkan apa yang saya boleh tawarkan," katanya.

PRN: Eddin Syazlee tanding DUN Juasseh bertembung Bibi Sharliza

SEREMBAN - Meskipun tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, namun Datuk Eddin Syazlee Shith diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi DUN Juasseh pada PRN ini.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bakal berdepan dengan calon dari BN, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Menurut Eddin, beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai calon apabila terus diberi kepercayaan oleh parti.

"Saya kata sebelum ini terpulang kepada pucuk pimpinan, kalau mereka masih ada keyakinan untuk saya bertanding,maka saya mengambil tanggungjawab itu seperti sebelum ini.

"Tetapi kesetiaan kepada parti yang penting tidak berbelah bahagi. Walaupun jawatan saya sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,tetapi saya tetap memberikan komitmen dan komited dengan perjuangan parti," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu Eddin Syazlee mengakui berdepan cabaran apabila bertembung dengan Bibi Sharliza yang disifatkan satu nama besar sedangkan dirinya hanya 'underdog'.

Bagaimanapun katanya, soal itu tidak memberi tekanan kepadanya dan akan berusaha melakukan yang terbaik.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kesihatanya beliau berkata, ia sudah semakin pulih.

Malah Ujarnya, akan mengkaji kekurangan dan kelemahan sewaktu pilihan raya lalu sehingga menyebabkannya gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah.

"Alhamdulillah kesihatan saya beransur pulih, ini satu perkembangan yang sangat positif..

"Saya berharap kali ini semuanya berjalan lancar boleh berkempen dengan lebih sempurna dan lebih kuat untuk memastikan kemenangan PN pada PRN ini," katanya.