STAM: Anak penoreh getah peroleh Mumtaz

Kejayaannya memperoleh Mumtaz dalam STAM dikongsikan bersama ibu dan ayahnya yang sentiasa memberi dorongan.
Kejayaannya memperoleh Mumtaz dalam STAM dikongsikan bersama ibu dan ayahnya yang sentiasa memberi dorongan.
A
A
A

LENGGONG - Fokus dalam pelajaran menjadi kunci kejayaan kepada Mohamad Hakimi Ahmad Jais, 19, memperoleh pangkat Mumtaz dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumumkan pada Khamis.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Mizan, Manong, Kuala Kangsar itu mengakui agak kekok untuk menyesuaikan diri ketika mengikuti pelajaran di rumah.

Menurutnya, tiada jalan mudah untuk terus mencapai kecemerlangan selain berusaha sehingga berjaya serta bertawakal kepada ALLAH SWT.

"Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memang sukar hinggakan saya berasa putus asa. Mujur ada rakan-rakan yang bantu dan belajar setiap malam.

"Rasa berdebar untuk lihat keputusan kerana peperiksaan sebelum ini saya hanya mendapat empat Mumtaz. Saya tidak sangka saya berjaya dan terus kongsikan rasa gembira bersama ibu, Sohifah Sam, 47, dan ayah, Ahmad Jais Awang, 49," katanya ketika ditemui di Kampung Melayu Padang Grus, di sini.

Mohamad Hakimi berkata, keputusan itu juga adalah hasil pengorbanan ayah yang bekerja sebagai penoreh getah dan abangnya, Mohamad Salman, 22, yang bekerja kampung untuk menampung keluarga.

"Inilah jasa dan pengorbanan mereka terutama abang. Dia terpaksa menolak untuk sambung pengajian di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) 2019 kerana kesempitan kewangan.

"Saya sedih kerana abang pun pandai dalam pelajaran. Dia sentiasa menasihatkan saya dan membantu menghulurkan wang ketika saya belajar. Kejayaan ini adalah sebahagian usaha dia membantu saya fokus belajar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia kini memohon untuk menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Mesir demi mengejar cita-citanya menjadi seorang guru.