Upacara pengebumian cetus kluster Gran Stumbin

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUCHING - Perhimpunan penduduk dari beberapa buah rumah panjang dalam satu upacara pengebumian di Sri Aman telah mencetuskan satu lagi kluster baharu Covid-19, Kluster Gran Stumbin, yang diisytiharkan di Sarawak hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya pada Rabu berkata, sebanyak 82 kes positif penyakit itu dikesan daripada kluster berkenaan yang merupakan antara tiga kluster baharu yang diisytiharkan Jabatan Kesihatan negeri itu.

“(Sebanyak) 124 kes didapati negatif dan 414 kes lagi masih menunggu keputusan makmal. Kesemua kes positif Covid-19 ini telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak, Hospital Sri Aman dan PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19) Sri Aman bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Dua lagi kluster baharu yang diumumkan berlaku di daerah Bintulu yang melibatkan Kluster Jalan Bintulu-Tatau yang 24 kes positif dikesan dan Kluster Jalan Tanjung Kidurong 3, mencatatkan 33 kes positif setakat ini.

Sehingga kini, 88 kluster masih aktif di negeri ini dengan 10 daripadanya merekodkan 40 kes baharu.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 57,475 berikutan 570 kes baharu yang dilaporkan sementara angka korban meningkat kepada 364 orang setelah enam kematian baharu dicatatkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: