X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan zalimi diri, orang sekeliling

A
A

PEMBERIAN vaksin Covid-19 di Malaysia semakin meningkat dengan ketibaan lebih banyak stok vaksin. Ketika artikel ini ditulis, kadar pemberian vaksin sehari adalah sebanyak 151,309 di mana dos 1 sebanyak 105,309 dan dos 2 sebanyak 45,587. Setakat ini, 2.7 juta rakyat kita sudah mendapat vaksin daripada 12.8 juta rakyat yang berdaftar.

Walaupun semakin ramai yang sudah yakin dan bersedia menerima vaksin Covid-19, masih ada segelintir kecil yang bukan sahaja menolak vaksin ini malah menyebarkan pula maklumat palsu kepada orang ramai. Tidak cukup dengan momokan bahawa vaksin ini tidak halal, boleh menyebabkan kematian, serta tidak selamat, rakyat disajikan juga dengan harapan palsu berkaitan petua atau rawatan alternatif.

Tidak salah untuk mencuba petua tradisional tetapi jangan pula menolak kaedah moden yang terbukti secara klinikal. Yang merisaukan jika ada yang nekad untuk tidak mengambil vaksin kerana yakin membuta tuli dengan petua tradisional. Mereka yang sebegini bukan sahaja membahayakan diri sendiri kerana terdedah kepada risiko mendapat jangkitan Covid-19 tetapi turut membahayakan orang lain.

Antara perkara yang ditularkan adalah tentang penggunaan bunga cengkih sebagai bahan utama yang dikatakan boleh menyembuhkan Covid-19. Pelbagai maklumat dikongsikan di WhatsApp dan media sosial tentang khasiat cengkih. Namun, adakah cara berkenaan benar-benar efektif untuk merawat pesakit Covid-19?

Berdasarkan artikel yang ditulis oleh seorang pensyarah kanan yang juga ahli kimia berdaftar, Dr. Che Puteh Osman di laman web www.drcheputeh.com, wap bunga cengkih digunakan secara tradisional bagi melegakan simptom batuk, bronkitis, selesema dan asma. Bagaimanapun, belum ada kajian, sama ada secara tabung uji atau pada model haiwan atau manusia yang membuktikan wap air rebusan cengkih boleh merawat jangkitan Covid-19.

Walaupun secara umumnya wap berkenaan tidak mendatangkan mudarat tetapi jika seseorang telah dijangkiti virus Covid-19, mereka perlu mendapatkan rawatan untuk Covid-19, bukannya menyedut wap bunga cengkih dengan harapan akan sembuh. Malah, mereka perlu dikuarantin bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain. Laporan AFP baru-baru ini menunjukkan ribuan doktor di India memakai lilitan hitam di lengan pada hari yang digelar Black Day sebagai bantahan terhadap Baba Ramdev, pemilik empayar perubatan tradisional, yang menuduh perubatan moden sebagai bodoh dan telah membunuh ribuan pesakit Covid-19. Sehingga kini, sekurang-kurangnya 330,000 orang termasuk lebih 1,200 doktor menjadi korban Covid-19 di India.

Baba Ramdev mengatakan bahawa beliau tidak memerlukan vaksin Covid-19 kerana dilindungi oleh yoga dan perubatan tradisional Ayurveda. Malah, pada awal tahun ini, beliau turut melancarkan ubat herba bernama Coronil yang dikatakan boleh menyembuhkan Covid-19. Di India, ada yang minum air kencing lembu setiap hari dan ada juga yang minum teh diperbuat daripada najis gajah kerana percaya ia mempunyai khasiat perubatan.

Sikap tidak bertanggungjawab mereka yang menyebarkan harapan palsu ini menyukarkan usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok.

Imuniti kelompok ialah keadaan apabila satu agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau tersebar dalam kalangan suatu kelompok masyarakat kerana sebahagian besar daripada ahli masyarakat terbabit mempunyai imuniti dan terlindung daripada jangkitan. Cara terbaik mencapai imuniti kelompok adalah melalui vaksinasi. Lindung diri, lindung semua!

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!