Tanpa DAP, PH-BN mungkin hilang lebih banyak kerusi di Pulau Pinang

Ramasamy
Ramasamy
A
A
A

GEORGETOWN - Pencapaian Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) telah menghantar isyarat tidak menyenangkan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN).

Ini kerana, gabungan baharu itu hampir dihapuskan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy berkata, perkara itu sudah dijangka malah ramalan PN akan memberi saingan sengit di Selangor juga hampir tepat apabila PH-BN kehilangan majoriti dua pertiga di negeri itu.

Menurutnya, di Pulau Pinang, walaupun PH-BN menang, majoriti dua pertiga gabungan itu telah berkurangan.

Kata beliau lagi, hakikatnya, tanpa DAP, PH-BN mungkin akan kehilangan lebih banyak kerusi di Pulau Pinang.

Tambahnya, calon Melayu PH-BN akan tewas tanpa sokongan yang diberikan oleh pengundi bukan Melayu terutamanya mereka yang sealiran dengan DAP.

"Dalam hal ini, DAP nampaknya bertindak sebagai ‘king maker’. Berapa lama peranan tertentu ini akan berterusan, ia bergantung kepada hala tuju yang akan diambil oleh Kerajaan Perpaduan.

"Persoalannya ialah, adakah DAP mempunyai pengaruh moral dan politik yang mencukupi untuk mempengaruhi hala tuju dasar Kerajaan Perpaduan?" katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, PH-BN di Pulau Pinang dilihat seolah-olah diketuai oleh DAP apabila parti itu berjaya memenangi kesemua 19 kerusi yang ditandingi.

"Pada masa yang sama, DAP menggunakan pengaruhnya untuk membolehkan PKR memenangi tujuh daripada 13 kerusi yang ditandinginya, Amanah satu kerusi dan UMNO memperolehi dua kerusi.

"Persoalannya, berapa lama lagi DAP boleh membawa sokongan undi bukan Melayu kepada parti yang tidak mempunyai sokongan Melayu? Perkara itu masih belum diketahui," katanya.

Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II berkata, pengaruh kuat Pas dalam kalangan orang Melayu cukup jelas apabila penguasaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Parlimen Permatang Pauh telah hancur melalui penembusan yang dibuat oleh parti Islam itu.

"DAP berada di bawah tekanan yang kuat untuk menjaga dan melindungi hak budaya dan etnik kaum bukan Melayu. Ini kerana, DAP menang semua kerusi kerana sokongan bukan Melayu.

"PN nampaknya menjadi pemenang yang jelas dalam PRN kali ini. Jelas sekali, sebahagian besar sokongan orang Melayu telah menjurus kepada PN.

"Ia bukanlah mengenai kemenangan gabungan masing-masing secara keseluruhan, tetapi jumlah kerusi yang dimenangi berbanding kerusi yang dipertandingkan dan peratusan sokongan," katanya.

Tambah Ramasamy, perkara itu bagaimanapun tidak berlaku kepada PKR, Amanah atau UMNO berikutan semua parti tersebut kalah kepada PN kecuali di Negeri Sembilan.

"Sebenarnya terdapat polarisasi dalam corak pengundian dari segi etnik dan sedikit sebanyak dari segi kelas. Corak pengundi mengikut kelas perlu dikaji. Walaupun kaum bukan Melayu memberikan sokongan mereka kepada PH-BN, adalah jelas bahawa kaum Melayu tidak menyokong PH-BN.

"Analisis yang lebih terperinci mungkin akan mendedahkan bahawa ramai calon PH-BN dipilih atas alasan sokongan bukan Melayu, dan Negeri Sembilan (mungkin) terkecuali. Tetapi keadaan seperti itu mungkin berubah dengan cepat selepas penembusan tangkas yang dibuat oleh PN," katanya.

Beliau berkata, ada beberapa pengajaran penting yang boleh diambil daripada keputusan PRN15 antaranya terdapat polarisasi pilihan raya yang semakin meningkat di negara ini.

"Sebilangan besar orang bukan Melayu membuat undian mereka kepada PH-BN manakala orang Melayu melemparkan sokongan mereka kepada PN. Corak ini berlaku sejak PRU15 lagi. Selain itu, Kerajaan Perpaduan telah diletakkan pada kedudukan yang memalukan.

"Walaupun kerajaan mungkin tidak tumbang, namun terdapat implikasi politik. Pengajaran yang lain adalah UMNO nampaknya semakin menjadi liabiliti kepada Kerajaan Perpaduan. Bagaimanapun, ini bukannya pengakhiran kepada UMNO, masih ada ruang untuk mereka dari terus tergelincir," katanya.

Gabungan PH-BN Pulau Pinang meraikan kemenangan bagi membentuk kerajaan negeri yang baru apabila menang 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN15 pada Sabtu.

Jumlah itu bukan sahaja cukup untuk membentuk Kerajaan Perpaduan (kerajaan negeri) malah mencapai majoriti dua pertiga kerusi yang berjaya dimenangi.

Gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi iaitu melebihi 21 kerusi DUN yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah daripada keseluruhan 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Kemenangan itu membuktikan PH kekal berkuasa dan mentadbir negeri ini buat penggal keempat berturut-turut.

Dalam pada itu, seperti dijangka, DAP merupakan penyumbang terbesar apabila menang kesemua 19 kerusi yang ditandingi.