Kilang kitar semula dikompaun operasi tanpa kebenaran MKN

Sebuah premis yang diperiksa dalam operasi bersepadu pada Jumaat.
Sebuah premis yang diperiksa dalam operasi bersepadu pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Sebuah kilang kitar semula di Kawasan Perindustrian MIEL Batang Kali di sini dikompaun kerana menjalankan aktiviti perniagaan tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu bermula jam 9. 30 pagi Jumaat itu dijalankan MDHS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan polis.

Menurut kenyataan itu, semasa anggota penguat kuasa tiba di lokasi didapati pagar utama premis berkenaan dalam keadaan berkunci.

"Kami telah menerbangkan dron bagi meninjau kawasan premis tersebut dan mendapati beberapa pekerja telah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota operasi," kata kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan itu memberitahu, salah seorang anggota operasi terpaksa memanjat pagar kilang bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dilakukan di dalam premis berkenaan.

"Sebaik memasuki premis, seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 24 tahun mendakwa dirinya bekerja sebagai pengawal keselamatan berada di pondok tempat kerjanya di premis tersebut.

"Pemeriksaan susulan mendapati premis beroperasi seperti biasa apabila mesin penghancur, enjin 'forklift' dan jengkaut berada dalam keadaan panas serta terdapat kesan-kesan proses mengangkat serta menghancurkan plastik sedang dilakukan pekerja asing yang melarikan diri," jelas kenyataan terbabit.

Kenyataan itu menjelaskan, sebanyak empat 'forklift', masing-masing satu jengkaut dan lori disita di bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, pemilik premis juga telah dikenakan tindakan kompaun di bawah peraturan 21, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawalan Pergerakan (No. 3.0) 2021 atas kesalahan beroperasi semasa perintah kawalan berkuat kuasa dan aktiviti perniagaan yang dijalankan tidak termasuk dalam senarai perniagaan dibenarkan MKN," katanya.

Selain itu, kenyataan itu memberitahu, pemeriksaan lain dilakukan di sebuah premis di kawasan Batu 32, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh.

Menurut kenyataan itu, pemilik kilang terbabit dikenakan tindakan kompaun kerana membuat gudang penyimpanan barang-barang plastik tanpa kelulusan MDHS terlebih dahulu.

"Tindakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MDHS) 2007, telah dikeluarkan oleh MDHS kepada kilang berkenaan," katanya.

Jelas kenyataan itu, pemeriksaan lanjut mendapati kilang tersebut memenuhi syarat yang ditetapkan oleh MKN iaitu seramai 71 daripada 137 pekerjanya hadir bertugas, namun anggota operasi telah menemui sejumlah bungkusan besar (bucket) yang mengandungi plastik resin yang siap diproses dalam kawasan kilang terbabit.

"Hasil temu duga yang dijalankan oleh JAS mendapati ia adalah merupakan produk uji cuba yang dijalankan oleh kilang berkenaan menggunakan mesin memproses plastik yang diluluskan JAS Negeri Selangor.

"Dalam operasi ini, sebanyak enam premis turut diperiksa di kawasan perindustrian Zuhrah dan tiada kesalahan ditemui dan premis mematuhi arahan yg ditetapkan oleh MKN," jelas kenyataan terbabit.