Syarikat kebal, tetap teruskan kerja tanah tanpa kebenaran

Pita kuning dipasang di tapak pembinaan berkenaan.
Pita kuning dipasang di tapak pembinaan berkenaan.
A
A
A

HULU SELANGOR - Meskipun notis henti kerja (SWO) telah dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 8 Mei dan 10 Mei lalu, pengusaha sebuah tapak projek pembinaan laluan di sini didapati masih meneruskan operasi seperti biasa.

Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, operasi bersepadu di kawasan tapak itu pada Khamis mendapati terdapat kerja-kerja tanah dijalankan tanpa kebenaran berhampiran Desa Anggerik dan Desa Melor, Serendah.

"Antara aktiviti yang dilakukan termasuk mengorek, memotong tanah, membina bangunan tapak perkhemahan pekerja baru dan pembinaan muka terowong exit Serendah di kawasan belakang Desa Anggerik.

"Bagi memastikan tiada lagi kerja-kerja tanah dilakukan di lokasi berkenaan, MPHS telah memasang pita kuning di laluan utama ke tapak pembinaan sehingga syarikat terbabit mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Jentera yang disita MPHS dalam operasi bersepadu di laluan ECRL Serendah pada Khamis.
Jentera yang disita MPHS dalam operasi bersepadu di laluan ECRL Serendah pada Khamis.

Selain itu katanya, sebanyak 11 unit jentera dan kenderaan disita dalam operasi tersebut.

"Tindakan penguatkuasaan ini diambil bawah seksyen 70(A)(1) dan Seksyen 70(A)(11), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

"Pihak syarikat telah melaksanakan kerja-kerja tanah tanpa kebenaran dan gagal mematuhi arahan MPHS untuk menghentikan kerja tanah di kedua-dua kawasan berkenaan," katanya.

Katanya, seramai 37 anggota terdiri jabatan dalaman MPHS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Serendah terlibat dalam operasi yang bermula jam 10.15 pagi.

Ujar beliau, operasi juga dilakukan susulan aduan diterima daripada penduduk yang terkesan dengan aktiviti pembinaan di kawasan tersebut.

Tambah beliau, kegiatan keluar masuk lori dan jentera ke tapak pembinaan itu telah menyebabkan kacau ganggu kepada aktiviti harian penduduk.