Kawalan sempadan diperketat susulan pendaratan pelarian Rohingya

Pelarian etnik Rohingya yang mendarat di Acheh Timur, Indonesia.
Pelarian etnik Rohingya yang mendarat di Acheh Timur, Indonesia.
A
A
A

SHAH ALAM - National Task Force (NTF) memperketat kawalan sempadan negara susulan laporan media Indonesia berhubung kehadiran 81 orang pelarian Rohingya yang dikesan di pesisiran pantai di Acheh Timur, Indonesia pada Jumaat.

NTF menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Ops Benteng akan meningkatkan kesiagaan dan mengatur gerak aset-aset maritim berdekatan perairan antarabangsa.

Selain itu, katanya, pemantauan radar dan aset udara juga akan dilakukan bagi mengesan sebarang pergerakan bot-bot mencurigakan.

Menurutnya, NTF juga akan meningkatkan pemantauan sebarang cubaan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari 'exit point' Tanjung Balai, Medan dan Dumai ke titik-titik pendaratan haram serta lorong tikus di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia.

"Merujuk kepada kes pendaratan Rohingya pada tahun 2019 dan 2020, etnik ini dibawa secara runcit ke Malaysia menggunakan bot-bot nelayan yang dipercayai menerima upah daripada sindiket untuk membawa masuk pelarian dari sebuah bot besar di perairan antarabangsa.

"Hasil maklumat risikan, NTF percaya pendaratan ini juga menggunakan modus operandi hampir sama. Masih terdapat sebuah 'motherboat' berada di perairan antarabangsa yang berkemungkinan telah melepaskan sebahagian etnik Rohingya untuk mendarat di Acheh Timur, manakala bakinya masih menunggu masa untuk dibawa mendarat ke Malaysia.

"Pendaratan di Acheh Timur dilihat sebagai salah satu taktik sindiket bagi mengaburi pihak berkuasa terhadap pergerakan memasuki Malaysia secara runcit menggunakan bot nelayan tempatan atau asing," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Bot pelarian etnik Rohingya yang mendarat di Acheh Timur, Indonesia.
Bot pelarian etnik Rohingya yang mendarat di Acheh Timur, Indonesia.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan kapal yang membawa 81 etnik Rohingya terdampar di Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Acheh Timur pada 4 Jun lalu.

Kapal tersebut dikatakan berlayar dari Cox's Bazar, Bangladesh dan menuju Malaysia, namun mengalami kerosakan sehingga terumbang-ambing di Laut Andaman.

Sementara itu, NTF dalam kenyataan sama memaklumkan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sindiket dan pengkhianat negara yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan pelarian Rohingya atau PATI ke negara ini.

Katanya, tindakan keras akan dikenakan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007.

"NTF bersama 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan terus melaksanakan operasi bersepadu memperketat kawalan sempadan negara dalam mengekang kemasukan imigran, di samping mengawal penularan wabak Covid-19 yang semakin serius di Malaysia," katanya.

Dalam masa sama, NTF turut berharap seluruh rakyat Malaysia agar bertindak sebagai 'mata dan telinga' kepada pasukan keselamatan serta agensi penguatkuasaan negara.

"Laporan mengenai sebarang maklumat berkaitan kemasukan PATI yang melalui titik pendaratan haram serta lorong tikus boleh diajukan kepada talian Hotline NTF 011-6251 1223," katanya.