Polis Kelantan-Thailand selaras perketat kawalan sempadan

Mohamad Zaki (tiga dari kiri) bersalaman bersama Somchai Sisorayut pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat pada Isnin.
Mohamad Zaki (tiga dari kiri) bersalaman bersama Somchai Sisorayut pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Penyelarasan memperketatkan kawalan sempadan antara perancangan terkini polis Kelantan dan Thailand dalam usaha mengurangkan jenayah penyeludupan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohamad Zaki Harun berkata, antara yang terlibat ialah Pasukan Gerakan Am (PGA), pasukan marin dan tentera selain pihak berkuasa keselamatan Thailand.

Beliau memberitahu, pertukaran maklumat antara polis Kelantan dan Thailand turut membantu membanteras jenayah rentas sempadan.

"Kita akui pihak keselamatan Thailand banyak membuat tangkapan terhadap penyeludup dan pada masa sama kami juga menerima maklumat berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Komander Polis Peronda Wilayah 4, Songkla, Thailand, Kolonel Somchai Sisorayut, ketua-ketua polis daerah dan pemimpin setempat.

Mohamad Zaki berkata, pertemuannya bersama rakan sejawat di Thailand baru-baru ini juga antara usaha membantu mengurangkan jenayah terutama penyeludupan dadah, barang dan pendatang asing tanpa izin.

"Kita menghargai usaha Thailand terutama pihak keselamatan di sempadan Narathiwat yang memenuhi janjinya untuk membantu penguatkuasaan mencegah penyeludupan.

"Inilah satu cara terbaik yang menyukarkan penyeludup Thailand dan Malaysia membawa masuk lebih banyak dadah atau barang lain.

"Kerjasama erat di antara polis di sempadan termasuk di Weng (Thailand) dan Jeli (Kelantan), Golok (Thailand) dan Pasir Mas (Kelantan) dan Takbai (Thailand) dan Tumpat (Kelantan)," katanya.

Jelas Mohamad Zaki, pasukan polis Kelantan akan meneruskan hubungan bersama ketua polis daerah di kedua-dua negara supaya tindakan berkenaan akan lebih berkesan.