X

Kindly register in order to view this article
!

Kelantan sumbang RM2.7 juta bantu golongan terkesan Covid-19

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan menyumbangkan RM2.7 juta menerusi Pakej Bantuan Cakna Rakyat Covid-19 bagi membantu golongan yang terkesan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, peruntukan RM60,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diselaraskan melalui 45 Pusat Khidmat DUN.

“Selain itu, bayaran cukai tanah semasa yang berakhir pada 30 Jun 2021 dilanjutkan kepada 31 Ogos 2021, manakala denda lewat cukai tanah pula hanya akan dikenakan bermula 01 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan sebanyak RM40 bilion.

Pengumuman tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan ekoran pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara pada ketika ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri menyambut baik perkara tersebut dan sebagai tanda sokongan kepada usaha menangani pandemik Covid-19, beliau turut menyumbangkan RM15,000 kepada Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah).

Beliau berkata, turut sama menyumbang ialah Exco kerajaan negeri iaitu sebanyak RM10,000 seorang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan sebanyak RM3,000 seorang.

Dalam kenyataan yang sama, Ahmad turut menyeru rakyat Kelantan merancakkan lagi aktiviti imunisasi dan membuat pendaftaran segera bagi mengawal penularan Covid-19.

“Marilah kita terus berdoa agar petugas barisan hadapan diberi kekuatan dan ketabahan oleh ALLAH SWT atas usaha dan pengorbanan dalam menjalankan tugas yang sangat mulia ini. Semoga ALLAH SWT mengangkat wabak ini daripada kita semua,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!