Perhilitan tembak mati tujuh lotong ganas

Kepala seorang wanita cedera parah digigit lotong dalam kejadian 21 Januari lalu. Foto: Perhilitan
Kepala seorang wanita cedera parah digigit lotong dalam kejadian 21 Januari lalu. Foto: Perhilitan
A
A
A

PORT DICKSON -Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menafikan dakwaan yang pihaknya telah menembak 20 ekor lotong di kawasan Kuarters Pendidikan Seri Sentosa, Batu 2 1/2 Jalan Pantai, di sini pada 19 Mei lalu.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan pada Selasa, hanya tujuh ekor lotong cengkong yang ganas dilupuskan secara kaedah penakaian atau ‘culling', bukannya 20 ekor sepertimana dakwaan di media sosial.

"Kesemua tujuh ekor lotong yang dilupuskan adalah lotong dewasa sahaja yang tidak melibatkan sebarang lotong juvenil dan Jabatan Perhilitan telah menguruskan bangkai lotong tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Gambar lotong mati di atas pokok yang ditularkan dipercayai diambil sebelum keseluruhan operasi ini selesai sepenuhnya dan tiada sebarang unsur kekasaran dilakukan," katanya.

Menurut Perhilitan, kumpulan lotong yang dilupuskan adalah lotong yang bertindak ganas dan sering mengganggu penduduk dan bukannya jinak seperti yang didakwa.

Selain itu katanya, gambar dua unit kelongsong peluru yang ditunjukkan di media sosial dipercayai dikutip dari kawasan belukar atau semak selepas operasi dijalankan, sebelum sempat dikutip oleh Jabatan Perhilitan.

"Berdasarkan SOP, selepas operasi rutin dilaksanakan, anggota Perhilitan akan bertindak mengutip dan mengumpulkan kesemua kelongsong peluru," katanya

Kenyataan itu turut memaklumkan persisiran pantai Batu 2 sehingga Batu 11, Port Dickson merupakan kawasan lotong liar berkeliaran yang dianggarkan kira-kira 140 hingga 160 ekor terdiri daripada empat kumpulan lotong.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Perhilitan menerima lapan aduan berulang berkaitan serangan dan gangguan lotong cengkong di kawasan terbabit yang berlaku sejak awal tahun ini membabitkan tiga kes ke atas orang awam sehingga mendatangkan kecederaan serius.

"Kecederaan paling serius pada 21 Januari lalu melibatkan seorang wanita yang cedera parah diserang serta digigit oleh lotong pada bahagian kepala.

“Ia menyebabkan kulit kepala mangsa terkoyak sehingga mangsa dimasukkan ke Hospital Port Dickson," katanya.

Sehubungan itu katanya, bagi memastikan kawasan kejadian ini selamat daripada serangan lotong, Perhilitan Negeri Sembilan telah menjalankan operasi menghalau serta operasi tangkap pindah lotong cengkong tersebut.

"Tapi kumpulan lotong ganas ini tidak berjaya ditangkap kerana penggunaan perangkap di kawasan itu didapati tidak berkesan.

"Oleh itu tindakan pelupusan atau penakaian lotong ini adalah kaedah terbaik bagi menangani konflik hidupan liar di kawasan tersebut dan satu operasi pengecaman lotong-lotong yang mencederakan serta membahayakan manusia telah dijalankan di kawasan tersebut," katanya.

Jelasnya, sebarang tindakan Jabatan Perhilitan dalam operasi kawalan konflik ini adalah mematuhi peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu Seksyen 52(a).

“Berdasarkan akta ini, seorang pegawai yang bertindak dalam menjalankan kuasanya boleh memburu mana-mana hidupan liar jika hidupan liar itu berbahaya kepada nyawa atau harta manusia.

"Sehubungan itu orang ramai disaran supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan spesies lotong di kawasan itu," katanya.