PKPD: Perak salur RM2.38 juta untuk rakyat terjejas

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyediakan RM2.38 juta untuk disalurkan kepada rakyat terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) khususnya golongan B40.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan menjelaskan peruntukan itu juga termasuk RM20,000 kepada semua pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini dengan nilai keseluruhan RM1.18 juta.

Menurutnya, pemberian peruntukan itu bertujuan memudahkan setiap wakil rakyat di negeri ini menjalankan pengurusan menangani Covid-19 di kawasan masing-masing.

"Bantuan kepada semua pusat khidmat berkenaan diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika mengadakan pertemuan dengan kesemua ADUN Perak yang diadakan secara maya pada Ahad.

"Selain itu, RM1.2 juta akan disalurkan kepada empat Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang terlibat dalam pelaksanaan PKPD merangkumi masing-masing RM400,000 untuk PDT Kinta serta PDT Larut Matang dan Selama manakala RM200,000 untuk PDT Hulu Perak dan PDT Muallim," jelas kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan itu turut menyebut, walaupun prosedur operasi standard (SOP) PKPD kali ini lebih longgar dengan aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi, semua PDT serta agensi terbabit melakukan pemantauan bagi memastikan rakyat yang terjejas dapat dibantu.

Sementara itu, Saarani bersetuju agar keutamaan diberi bagi penyaluran bantuan kotak makanan kepada golongan miskin dan B40 yang terkesan terutama mereka yang terputus mata pencarian atau terjejas pendapatan ekoran pelaksanaan SOP dalam tempoh tersebut.

"Nilai barangan bagi setiap kotak makanan, senarai penerima, kaedah penyaluran terpulang kepada kesesuaian dan budi bicara PDT di daerah yang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya terdapat lebihan peruntukan, PDT terbabit boleh menggunakan peruntukan tersebut bagi keperluan lain berkaitan pengurusan Covid-19 termasuk membeli ubat-ubatan," jelasnya.

Pada 22 Mei lalu, empat mukim di Perak diletakkan di dalam PKPD melibatkan Mukim Pengkalan Hulu Daerah Hulu Perak, Mukim Taiping Daerah Larut, Matang dan Selama, Mukim Hulu Kinta dan Mukim Hulu Bernam Timur Daerah Muallim susulan peningkatan kes positif Covid-19.