Kada rugi lebih RM2.7 juta, hasil padi merosot akibat kemarau

Mohd Faizul (dua dari kanan) meninjau keadaan tanaman padi akibat musim kemarau di Kota Bharu.
Mohd Faizul (dua dari kanan) meninjau keadaan tanaman padi akibat musim kemarau di Kota Bharu.
A
A
A

BACHOK - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) merekodkan kerugian lebih RM2.7 juta apabila hampir 30 peratus hasil padi di Kelantan, merosot akibat musim kemarau.

Pengurus Besarnya, Mohd Faizul Mustafa berkata, kerugian yang dialami itu melibatkan kawasan seluas 7,800 hektar membabitkan 1,123 orang petani.

"Penanaman padi itu adalah musim kedua untuk tahun ini yang berakhir pada 30 April lalu. Situasi itu menyebabkan hasil padi berkurangan antara 20 peratus hingga 30 peratus.

"Pengurangan paling tinggi dalam tempoh sembilan tahun disebabkan cuaca panas. Setiap musim menuai purata hasil yang diperoleh sebanyak 120,000 tan," katanya pada Selasa.

Menurut beliau, Pasir Puteh merekodkan kerugian paling tinggi iaitu lebih RM2.2 juta membabitkan 822 petani.

"Ia diikuti Bachok melibatkan kerugian RM480,600 dan membabitkan 85 petani," katanya.

Mohd Faizul memberitahu, Pasir Puteh merekodkan kerugian tertinggi disebabkan lokasinya yang paling jauh dari rumah pam Kada di Kemubu.

"Walaupun berdepan masalah musim kemarau, Kada sendiri sudah melakukan pelbagai usaha membantu petani dengan menyediakan telaga tiub," katanya.