YIDE salur RM1. 4 juta kepada 9,081 anak yatim Selangor

Tengku Amir Shah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada salah seorang penerima cilik bagi daerah Petaling pada Sabtu.
Tengku Amir Shah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada salah seorang penerima cilik bagi daerah Petaling pada Sabtu.
A
A
A

PETALING - Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah menyalurkan sumbangan Aidilfitri sebanyak RM1. 4 juta kepada 9,081 anak yatim di seluruh Selangor.

Sumbangan telah disampaikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj yang berkenan berangkat ke semua lokasi yang ditetapkan bagi penyerahan sumbangan terbabit.

Pada Sabtu, seramai 1,636 anak-anak yatim daerah Petaling telah menerima bantuan RM150 setiap seorang membabitkan peruntukan sebanyak RM 245,400.

Penerima bergambar beramai-ramai bersama sumbangan yang diterima.
Penerima bergambar beramai-ramai bersama sumbangan yang diterima.

Dalam pada itu, Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor pada majlis penyampaian tersebut telah berkongsi perkembangan pembangunan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah di Klang.

Beliau berkata, projek pembangunan kompleks tersebut dijangka dilaksanakan seawal Jun tahun ini dan majlis pecah tanah bakal dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Katanya, perbelanjaan bagi pembangunan projek tersebut dianggarkan melibatkan kos antara RM11 ke RM12 juta.

"Sehingga kini kutipan sumbangan telah melepasi 70 peratus maka projek akan dimulakan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Kita harap projek ini bermula, kutipan sumbangan baki tersebut akan terus dipertingkatkan, " katanya pada Sabtu.

Pada majlis sama, Tengku Amir Shah turut berkenan menyerahkan sijil penghargaan bagi Ketua Sahabat Prihatin YIDE Daerah Petaling, Gombak dan Hulu Selangor.

K-SPY merupakan wakil YIDE di lapangan yang akan membantu melaksanakan kutipan Kupon Infaq Yatim YIDE dan juga menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan anak-anak yatim serta bencana.