X

Kindly register in order to view this article
!

Saringan percuma: Pintu masuk dibuka awal untuk elak kesesakan

Suasana di kawasan pusat saringan percuma Covid-19 di Dewan Komuniti MBPJ, Jalan PJS 6/1 Kampung Lindungan.
A
A

PETALING JAYA - Kawasan Dewan Komuniti MBPJ, Jalan PJS 6/1 Kampung Lindungan di sini sesak dengan kehadiran penduduk setempat yang mahu menjalani ujian saringan Covid-19 percuma oleh kerajaan Selangor.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai sudah berkumpul awal pagi walaupun pusat saringan itu dibuka pada jam 9 pagi.

Penduduk yang hadir juga dilihat mematuhi prosedur operasi piawai (SOP) selain dikawal anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar ketika ditemui berkata, anggota keselamatan terpaksa membenarkan orang ramai memasuki kawasan pusat saringan itu lebih awal bagi memastikan keadaan terkawal dan semua proses berjalan lancar.

"Pada peringkat awal memang terlalu sesak dengan kehadiran orang ramai namun keadaan itu semakin terkawal," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di pusat saringan berkenaan pada Ahad.

Halimey memberitahu, beliau mendapat maklumat seramai 2,000 orang telah mendaftar menerusi aplikasi SeLangkah bagi mengikuti saringan percuma namun kehadiran dijangka melebihi jumlah itu.

Noraini membawa ibunya, Sawiyah bagi menjalani ujian saringan percuma Covid-19 pada Ahad.
Noraini membawa ibunya, Sawiyah bagi menjalani ujian saringan percuma Covid-19 pada Ahad.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya turut berharap kerajaan negeri dapat menambah jumlah mesin pengimbas bar kod bagi aplikasi SeLangkah di pusat saringan.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan proses di semua pusat saringan percuma dapat berjalan lancar di samping mengurangkan tempoh menunggu bagi menjalani ujian itu.

"Hanya satu mesin pengimbas kod disediakan di pusat saringan dan disebabkan itulah ramai yang terpaksa menunggu lebih lama.

"Jadi saya berharap kerajaan negeri dapat menambah baik dan menambah mesin-mesin ini supaya keadaan tidak menjadi terlalu sesak dan semua proses dapat dipercepatkan," katanya.

Sementara itu, seorang surirumah, Noraini Ibrahim, 50, berkata, dia mengambil kesempatan membawa ibunya, Sawiyah Akhir, 97, untuk menjalani ujian saringan percuma itu sebagai langkah keselamatan kerana salah seorang ahli keluarga mereka positif wabak berkenaan sebelum ini.

"Kami mendapat maklumat ada ahli keluarga didapati positif Covid-19 tanpa sebarang simptom," katanya.

Tambahnya, usaha kerajaan negeri melaksanakan ujian saringan percuma ini juga sangat baik khususnya bagi membantu rakyat yang terbeban sejak serangan pandemik ini.

"Suami saya pun sudah tidak bekerja sejak tiga bulan lalu kerana kilang ditutup. Melalui saringan percuma ini, kami dapat berjimat wang," katanya.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh DUN negeri ini dengan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) bermula 8 Mei lalu hingga 10 Jun ini.

Program itu menyasarkan saringan buat individu yang berisiko, kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Orang ramai beratur menanti giliran untuk memasuki pekarangan Dewan Komuniti MBPJ, Jalan PJS 6/1 Kampung Lindungan.
Orang ramai beratur menanti giliran untuk memasuki pekarangan Dewan Komuniti MBPJ, Jalan PJS 6/1 Kampung Lindungan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!