'Gagal solat Jumaat kerana patuh SOP termasuk dalam keuzuran'

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Kegagalan menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan Covid-19 termasuk dalam keuzuran dibenarkan mengikut syarak dan tidak berdosa.

Pendakwah terkemuka dari Kedah, Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, seseorang yang uzur dan tidak dapat menunaikan solat Jumaat maka gugurlah kewajipan itu bagi dirinya.

Menurutnya, apabila gugur kewajipan itu maka individu terbabit tidak melakukan dosa dan tidak perlu bertaubat kerana ia bukan disengajakan sebaliknya terhalang oleh PKP.

"Telah ada ketetapan oleh semua mufti di negara ini, kalau tidak solat Jumaat dalam tempoh PKP, bukan sebab dia tak mahu pergi sembahyang tetapi terhalang oleh SOP Covid-19, jadi ketidakhadiran itu termasuk dalam keuzuran," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan kontroversi seorang pendakwah bebas wanita yang membuat kenyataan bahawa individu yang gagal menghadiri solat Jumaat tiga kali berturut-turut kerana mematuhi SOP wajib bertaubat dengan solat sunat taubat.

Memetik ucapan pendakwah terbabit, individu yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa rasa bersalah disebabkan SOP wajib melakukan solat taubat dan mohon ampun kepada ALLAH SWT.

Mengulas lanjut, Syeikh Ahmad Faisol berkata, kenyataan itu menimbulkan rasa resah dan keliru dalam kalangan umat Islam terutama netizen yang mengikuti ceramah pendakwah terbabit.

"Kenyataan itu bercanggah dengan kebanyakan ulama dunia dan Malaysia, malah mencetuskan kemarahan ramai. Saya percaya pendakwah itu tidak berhasrat untuk timbulkan kontroversi, mungkin beliau tersilap cakap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, pendakwah terbabit dinasihatkan menarik balik kenyataan berkenaan bagi meredakan keadaan dan sekiranya kenyataan itu ditarik balik, ia tidak akan aibkan pendakwah itu sebaliknya kedudukan beliau akan dipandang tinggi kerana kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.

Dalam pada itu, Syeikh Ahmad Faisol menjelaskan bahawa ulama terdahulu juga penah menarik balik kenyataan dibuat apabila mendapati perkara itu tidak tepat.

"Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.Yang buat silap mengaku salah dan istigfar, mohon ampun daripada ALLAH SWT.

"Malah netizen juga perlu berhenti mengecam pendakwah terbabit dan memaafkan beliau atas kekhilafan itu," ujarnya.