Rampasan mercun, bunga api terbesar di Kelantan

KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah stor di Kampung Pasir Tumboh di sini dan merampas 1,031 kotak mercun serta bunga api bernilai lebih RM3.09 juta yang dipercayai untuk sambutan Tahun Baru Cina pada Rabu.
Serbuan kira-kira jam 12.10 tengah malam menerusi Op Taring Wawasan itu turut menahan empat lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil siasatan awal mendapati bekalan mercun dipercayai diperoleh daripada sebuah pembekal di Masjid Tanah, Melaka dan dibawa masuk ke stor ini secara berperingkat sejak akhir Januari bagi tujuan edaran sempena perayaan.

"Pemeriksaan lanjut di dalam dan luar stor menemui 1,031 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disimpan tanpa sebarang dokumen sah.
"Kesemua suspek gagal mengemukakan permit atau kebenaran berkaitan barangan tersebut,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut beliau, turut dirampas sebuah telefon bimbit.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1952, dan kesemua tangkapan serta rampasan telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut.
"Ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek turut didapati negatif dadah," katanya.
Tambah beliau, pihak polis akan terus mempergiatkan risikan dan pemantauan bagi mengekang aktiviti penjualan mercun tanpa lesen serta membongkar rangkaian pengedaran haram yang semakin terancang.
“Ini antara rampasan terbesar di Kelantan setakat ini dan memberi isyarat jelas bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap aktiviti penyimpanan serta pengedaran bahan letupan secara haram,” tegasnya.
Ringkasan AI
- Pasukan Gerakan Am merampas 1,031 kotak mercun dan bunga api bernilai lebih RM3.09 juta di Kampung Pasir Tumboh, Kota Bharu
- Serbuan itu berlaku kira-kira jam 12.10 tengah malam dan empat lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun ditahan
- Mercun tersebut dipercayai diperoleh dari pembekal di Masjid Tanah, Melaka dan dibawa masuk secara berperingkat sejak akhir Januari
- Rampasan juga termasuk sebuah telefon bimbit dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1952
- Ini adalah antara rampasan terbesar di Kelantan dan menunjukkan komitmen polis memerangi penyimpanan serta pengedaran haram bahan letupan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


