Suami derma buah pinggang demi isteri, bukti kasih sayang tiada galang ganti

SHAH ALAM – Pengorbanan seorang suami yang sanggup mendermakan buah pinggang kepada isterinya demi memberi peluang hidup kedua menjadi bukti kasih sayang dan kekuatan cinta antara dua insan.
Mohd Nadzim Nik Omar, 42, mengambil keputusan besar itu selepas isterinya, Sharifah Shafiah Syed Shah Minan, 40, disahkan mengalami masalah kegagalan fungsi buah pinggang akibat pembentukan cyst pada kedua-dua organ berkenaan.
Menurut jurutera pelengkap telaga minyak itu, masalah kesihatan isterinya dikesan secara tidak sengaja selepas mereka menjalani ujian darah penuh pada tahun 2020 susulan sejarah kanser dalam kalangan adik-beradik isterinya.
"Hasil keputusan menunjukkan isteri ada masalah dengan bacaan buah pinggang dan kami rujuk kepada pakar nefrologi sebuah hospital swasta.
"Hasil keputusan menunjukkan bacaan kreatinin isteri tinggi dan pemeriksaan lanjut mengesahkan terdapat cyst yang terkumpul pada kedua-dua buah pinggang menyebabkan fungsinya merosot," katanya kepada Sinar Harian.

Berkongsi lanjut, Mohd Nadzmi memaklumkan, bacaan kreatinin isterinya terus meningkat sehingga buah pinggang hampir hilang fungsi sepenuhnya sejak Januari 2021 hingga Disember 2024.
Bimbang keadaan menjadi lebih serius, mereka mengambil keputusan menukar rawatan ke Hospital Puncak Alam pada Jun 2025 bagi memulakan perbincangan pemindahan buah pinggang bersama pakar di fasiliti kesihatan berkenaan.
“Saya sendiri tampil menawarkan diri sebagai penderma. Pada awalnya keluarga kurang bersetuju kerana risaukan risiko kesihatan saya.
“Cuma selepas saya kumpul maklumat dan bertanya pengalaman individu yang hidup dengan satu buah pinggang, akhirnya keluarga faham dan memberi sokongan,” ujarnya.

Sebagai pekerja sektor minyak dan gas yang kerap bertugas di laut dalam luar negara, kekangan masa dan kewangan menjadi cabaran utama.
Justeru Mohd Nadzim berkata, setiap kali bercuti, dia memanfaatkan masa sepenuhnya untuk menjaga kesihatan dengan bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat.
"Pengalaman ini menguatkan lagi hubungan keluarga kami. Saya lebih tenang mencari rezeki kerana tahu isteri dalam keadaan baik," ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang suami mendermakan buah pinggang kepada isterinya untuk memberi peluang hidup kedua
- Mohd Nadzim Nik Omar mengambil keputusan itu setelah isterinya, Sharifah Shafiah Syed Shah Minan, didiagnosis menderita gagal fungsi buah pinggang
- Masalah kesihatan isterinya terbongkar secara tidak sengaja melalui ujian darah pada tahun 2020
- Bacaan kreatinin Sharifah Shafiah meningkat sehingga buah pinggang hampir hilang fungsi sepenuhnya dari Januari 2021 hingga Disember 2024
- Mohd Nadzim memanfaatkan masa bercuti untuk menjaga kesihatan demi memberi sokongan kepada isterinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

