X

Kindly register in order to view this article
!

United masih berpeluang julang trofi EPL

Cavani terus menampilkan persembahan cemerlang dengan meledak gol ketika United menewaskan Villa 3-1.
A
A

MANCHESTER United terus menghidupkan peluang untuk mencabar pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester City dalam perebutan kejuaraan musim ini selepas menewaskan Aston Villa 3-1 di Stadium Villa Park pada Ahad.

Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer berkata, The Red Devils akan terus memberikan cabaran dan tidak akan membiarkan City menang mudah trofi EPL musim ini.

"Ia menjadi satu kejutan besar dalam sejarah bola sepak namun kami tidak pulang ke Manchester dalam keadaan City merayakan kejuaraan mereka.

"Kami akan cuba menangguhkan kejuaraan mereka selama mana yang boleh," katanya.

City sememangnya mengharapkan United tewas kepada Villa untuk menjulang kejuaraan EPL mereka musim ini selepas mereka terlepas peluang mengesahkan lebih awal susulan kekalahan 1-2 kepada Chelsea pada Ahad.

Bagaimanapun, United tidak memberikan jalan mudah buat City walaupun terlebih dahulu ketinggalan satu gol kepada Villa dan bangkit menerusi jaringan Bruno Fernandes, Mason Greenwood dan Edinson Cavani.

Kemenangan tersebut menyaksikan United mengumpul 70 mata dibezakan sepuluh mata dengan City yang berada di puncak liga ketika ini.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Villa itu, Solskjaer menyifatkan pasukannya bermula perlahan terutama pada separuh masa pertama sehingga menyaksikan pihak lawan berjaya membolosi gawang United.

"Namun, pemain bangkit dengan aksi memukau pada separuh masa kedua dan kami bukan hanya menang tipis sebaliknya berjaya menjaringkan tiga gol.

"Saya gembira dengan persembahan pemain dan kami juga perlu ingat bahawa kami perlu berdepan jadual yang padat. Saya jangkakan kami perlu melakukan penggiliran pemain menjelang pertemuan dengan Leicester City.

"Malah, saya juga risau dengan keadaan Harry Maguire yang cedera dan saya harap kecederaan yang dialami tidak serius," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!