X

Kindly register in order to view this article
!

HIDE: Premis dalam senarai bukan kluster penyebaran

Khairy Jamaluddin
A
A

KUALA LUMPUR - Semua premis atau lokasi yang disenaraikan dalam sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bukanlah suatu kluster yang telah disahkan sebagai kluster penyebaran Covid-19.

Sebaliknya, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata semua premis yang disenaraikan itu adalah premis berpotensi menjadi kluster sekiranya tiada tindakan awalan diambil.

"Premis yang tersenarai di bawah HIDE adalah berbeza daripada senarai kluster yang dilaporkan setiap hari oleh Ketua Pengarah Kesihatan. Premis yang tersenarai dalam HIDE tidak perlu ditutup kecuali jika diarahkan pihak berkuasa.

"Penyenaraian lokasi dan premis ini membolehkan intervensi awalan (preemptive) dan tindakan wajar diambil oleh pihak berkuasa, pemilik premis serta orang ramai bagi mengelakkan berlakunya kluster baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Khairy mengumumkan kerajaan bersetuju menyenaraikan semua premis yang mempunyai risiko penularan Covid-19 dalam sistem HIDE bermula semalam.

Sistem HIDE, dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan, bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan Covid-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata tempoh tujuh hari pertama bagi premis yang disenaraikan dalam HIDE adalah penting kerana kluster boleh terbentuk dalam tempoh itu sekiranya tiada langkah-langkah pencegahan dilaksanakan.

Menurutnya, tindakan awalan seperti kawalan pergerakan orang ramai dan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja adalah langkah terbaik bagi menghalang penularan Covid-19.

"Sekiranya tiada titik panas terbentuk di premis hasil tindakan awalan yang dilaksanakan, premis akan dikeluarkan daripada senarai HIDE dalam tempoh tujuh hari selepas disenaraikan. Senarai premis yang telah dikeluarkan daripada HIDE akan diterbitkan secara harian.

"Bagaimanapun, sesebuah premis berkemungkinan akan disenaraikan dalam HIDE lebih daripada sekali. Ini menandakan tindakan kawalan di premis itu adalah tidak mencukupi. Premis yang sentiasa dikunjungi ramai, sesak serta tanpa sistem pengudaraan yang baik adalah berisiko tinggi untuk tersenarai lebih daripada sekali," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan kunjungan ke lokasi atau premis yang telah disenaraikan, namun sekiranya masih perlu mengunjungi premis tersebut, patuhi garis panduan yang telah ditetapkan serta sentiasa mengamalkan budaya normal baharu.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan, jumlah premis tertinggi yang diletakkan sebagai 'hotspot' adalah di Kuala Lumpur, diikuti Selangor, Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Putrajaya, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka.

Senarai penuh boleh didapati menerusi laman sesawang Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Telegram Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Facebook Public Health Malaysia. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: HIDE: Elak kluster baharu dengan lebih cekap


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!