Orang ramai mula beratur ambil air dari lubang benam di sawah

SUMATERA BARAT – Fenomena lubang benam yang berlaku di kawasan sawah di Jorong Tepi, Nagari Situjuah Batua, Daerah Situjuah Limo Nagari, terus menarik perhatian penduduk tempatan serta pengunjung dari luar kawasan.
Tinjauan media tempatan di lokasi pada Khamis mendapati orang ramai sanggup beratur bagi mengambil air yang mengalir keluar dari lubang besar tersebut, yang dikenali penduduk setempat sebagai 'sawah mendap'.
Air yang keluar dari kawasan persawahan berkenaan diambil menggunakan botol dan bekas simpanan air, dengan sebahagian pengunjung menjadikannya sebagai cenderamata bagi menandakan kunjungan mereka ke lokasi fenomena alam yang jarang berlaku itu.
“Sekadar mengambil air sebagai kenang-kenangan. Kejadian seperti ini bukan sesuatu yang sering berlaku,” kata Rizal, salah seorang pengunjung.
Bagi mengelakkan risiko keselamatan, penduduk setempat memasang paip sementara untuk menyalurkan air dari kawasan lubang benam tersebut, sekali gus membolehkan orang ramai mengambil air tanpa perlu menghampiri kawasan berbahaya.

Sementara itu, pihak berkuasa yang bertugas di lokasi terus mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan tidak menghampiri kawasan lubang benam berkenaan.
Menurut mereka, keadaan tanah di sekitar lokasi masih tidak stabil dan berkemungkinan berlaku pergerakan tanah susulan yang boleh mengancam keselamatan.
“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak mendekati kawasan lubang benam kerana dikhuatiri masih berlaku pergerakan tanah yang boleh membahayakan keselamatan,” kata seorang petugas.
Sehingga laporan ini disiarkan, pengunjung dari pelbagai daerah masih terus hadir untuk menyaksikan sendiri fenomena alam tersebut yang telah mengubah bentang muka bumi pertanian di kawasan berkenaan.-Agensi
Ringkasan AI
- Lubang benam di kawasan sawah di Jorong Tepi, Nagari Situjuah Batua, menarik perhatian penduduk dan pengunjung
- Orang ramai sanggup beratur untuk mengambil air yang mengalir dari lubang tersebut sebagai cenderamata
- Penduduk setempat memasang paip sementara untuk membolehkan pengambilan air tanpa menghampiri kawasan berbahaya
- Pihak berkuasa mengingatkan orang awam untuk tidak mendekati kawasan tersebut kerana keadaan tanah yang tidak stabil
- Pengunjung dari pelbagai daerah terus hadir untuk menyaksikan fenomena alam tersebut yang mengubah bentang muka bumi pertanian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

