Rakyat berhak rasa kecewa apabila pihak berkuasa salah guna kedudukan, berasuah - Agong
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mesti sentiasa dipelihara serta dipertahankan.
Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah kedua-dua aspek dalam Rukun Negara itu amat penting kerana memberi kesan secara langsung terhadap tahap kepercayaan rakyat kepada integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara.
"Rakyat berhak untuk berasa kecewa apabila pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan berasuah,” titah Sultan Ibrahim.
Titah berkenaan dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Sri Azalina Othman Said di ibu negara hari ini.
Pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai isu-isu semasa mengenai perundangan dalam negara selain usaha pengukuhan tatakelola serta pelaksanaan reformasi institusi ke arah memerangi rasuah. - Bernama
Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menekankan perlunya memelihara keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang
- Aspek-aspek tersebut di dalam Rukun Negara penting untuk memastikan kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi pemerintah
- Rakyat berhak kecewa bila pihak berkuasa menyalahgunakan kedudukan dan terlibat dalam rasuah
- Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai isu perundangan dan usaha pengukuhan tatakelola dan reformasi institusi
- Pertemuan tersebut membincangkan tentang memerangi rasuah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
