LTdIPT 2023: Afi Danial laung amaran awal

Afi Danial mengungguli peringkat pertama LTdIPT 2023 dari Kolej Komuniti Segamat ke UTeM sejauh 96.4km pada Sabtu. - Foto Facebook Sukan IPT
Afi Danial mengungguli peringkat pertama LTdIPT 2023 dari Kolej Komuniti Segamat ke UTeM sejauh 96.4km pada Sabtu. - Foto Facebook Sukan IPT
A
A
A

PELUMBA Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mohamad Afi Danial Ramli Abu Bakar melaungkan amaran awal kehadirannya bukan biasa-biasa apabila membolot tiga jersi dalam peringkat pertama Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023 pada Sabtu.

Pecutan bertenaga 300 meter terakhir membolehkan pelumba berjersi 56 itu menamatkan perlumbaan sejauh 96.4 kilometer bermula dari Kolej Komuniti Segamat ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka dalam masa 2 jam 18 minit 21 saat.

Berkongsi kegembiraannya, Afi Danial menyifatkan ia perlumbaan sengit dan mencabar kerana setiap pelumba berusaha memburu keputusan terbaik dalam peringkat pertama ini.

"Pengalaman di pentas Sukma selain belajar di Sekolah Sukan Terengganu banyak membantu persembahan saya.

"Walaupun laluan peringkat pertama merupakan kegemaran, tetapi saya tidak menyangka terdapat selekoh pada pecutan beberapa meter terakhir," katanya.

Afi Danial yang mengungguli peringkat pertama diekori rapat Muhamad Hafizul Asyraf Jaafar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang ketinggalan 0.09 saat (s), dan Muhammad Iqbal Imran Md Zahirrudin dari UPNM (0.11s).

Kemenangan itu membolehkan pelumba dari Kota Tinggi, Johor tersebut menyapu Jersi Kuning bagi juara keseluruhan peringkat pertama, Jersi Putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan Jersi Hijau (Raja Pecut) sekali gus memimpin pendahulu keseluruhan hari pertama perlumbaan.

UPNM yang mencipta sensasi pada peringkat pertama turut meraih gelaran Raja Bukit menerusi kayuhan padu diterjemahkan Ahmad Irfan Abdul Hamid (Jersi Polka Dot).

Peringkat kedua melibatkan Kriterium sejauh 60 kilometer akan berlangsung pada Ahad antara empat peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan sejauh 332.7 kilometer, yang menawarkan hadiah lumayan keseluruhan RM40,000 menjadi rebutan lebih 100 pelumba.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli berkata, beliau pada mulanya bimbang pelumba tidak dapat mengharungi perlumbaan tersebut hingga ke garisan penamat.

"Namun kebimbangan saya terpadam apabila melihat mereka berentap sengit hingga ke garisan penamat, ini satu petanda sangat positif kepada perkembangan bakat baharu sukan lumba basikal negara pada masa depan.

"Saya menjangkakan perlumbaan peringkat kedua esok pastinya menjanjikan saingan yang amat sengit dan menarik."