Kadar bancian di Perak 85 peratus

Rozita menampal kad banci di sebuah rumah yang dihadiri pembanci secara bersemuka di Taman Sepakat, Menglembu pada Rabu.
Rozita menampal kad banci di sebuah rumah yang dihadiri pembanci secara bersemuka di Taman Sepakat, Menglembu pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kadar bancian di Perak bagi Banci Malaysia 2020 sudah mencapai sehingga 85 peratus sehingga 3 Mei 2021 dengan tiga daerah sudah melebihi 90 peratus selesai dibanci.

Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia (Program Ekonomi), Datin Seri Rozita Talha berkata, tiga daerah berkenaan ialah Selama, Muallim dan Hulu Perak, manakala daerah paling rendah dari segi peratusan selesai dibanci ialah Manjung serta Perak Tengah.

Menurutnya, pada ketika ini, Jabatan Perangkaan sedang giat melaksanakan pembancian secara bersemuka menerusi lawatan ke lokasi yang belum selesai dibanci oleh pembanci.

"Di Perak ini, kita dah mencapai 85 peratus yang telah dibanci, manakala 15 peratus yang kita akan kunjungi secara bersemuka. Kita menyeru kepada penduduk di Perak dan Malaysia amnya memberi kerjasama untuk menyelesaikan bancian yang tertangguh sehingga selesai sebelum 15 Jun.

"85 peratus itu meliputi bancian secara e-Census dan secara bersemuka. Kawasan yang sudah mencapai kadar banci melebihi 90 peratus ini kita akan habiskan dalam masa terdekat dan selepas itu di kawasan lain yang belum selesai dibanci," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Turun Padang Banci Malaysia 2020 Bersama Pembanci di Perak di Taman Sepakat, Menglembu di sini pada Rabu.

Hadir sama pada program itu, Pengarah Jabatan Perangkaan Perak, Rafliza Ramli.

Rozita berkata, Perak merupakan negeri keempat yang mempunyai peratusan tertinggi selesai dibanci di negara ini, manakala Sabah negeri paling rendah disebabkan pelbagai faktor seperti geografi dan penularan Covid-19 yang tinggi sebelum ini.

Menurutnya, dari segi kerjasama yang diberikan masyarakat, kebanyakan mereka memberi komitmen namun terdapat beberapa kawasan didapati sukar memberikan kerjasama.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, proses bancian secara bersemuka dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita harap orang ramai dapat memberikan kerjasama untuk kita melengkapkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 ini sebelum 15 Jun ini.

"Dalam pada itu, kita juga kini masih kekurangan pembanci kerana masih ada kawasan yang memerlukan pembanci," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020.

Menurutnya, kekosongan jawatan sebagai pembanci masih lagi dibuka dan lepasan institusi pengajian tinggi, lepasan sekolah dan mereka yang masih mencari pekerjaan digalakkan memohon.

Katanya, sebarang maklumat lanjut mengenai permohonan itu boleh dirujuk di Pejabat Perangkaan Negeri dan cawangan di seluruh negara atau menerusi laman web Jabatan Perangkaan Malaysia.