X

Kindly register in order to view this article
!

Perak terima pelaburan RM800 juta

Saarani (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara PKNP yang diwakili Redza Rafiq (kiri) dan Terence Lim di Bilik Mesyuarat, Pejabat Menteri Besar Perak, di sini pada Rabu.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menerima pelaburan mencecah RM800 juta melibatkan pembinaan sebuah kilang sarung tangan getah di atas tanah seluas 18.3 hektar di tapak perindustrian Bemban II, Sungai Terap, Batu Gajah.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pembinaan kilang itu melibatkan lima fasa dalam tempoh 10 tahun dan dijadual bermula pada tahun 2023 hingga 2024.

Menurutnya, kilang tersebut bakal menyediakan kira-kira 4,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dan mempunyai 80 barisan pengeluaran dengan anggaran penghasilan 24 bilion sarung tangan setahun.

"Inisiatif ini selaras dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan kerjasama pintar sebagai sebahagian daripada pendekatan penting kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri melalui penglibatan aktif sektor swasta.

"Pelaburan ini bersifat strategik memandangkan penularan pandemik Covid-19 telah meningkatkan permintaan hasil industri berasaskan getah serta sektor yang berkaitan penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Professional Latex Sdn Bhd di Bilik Mesyuarat, Pejabat Menteri Besar Perak, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah Eksekutif Professional Latex Sdn Bhd, Terence Lim.

Saarani berkata, pemeteraian perjanjian antara PKNP dan Professional Latex Sdn Bhd itu akan memberi faedah berterusan kepada Perak melalui pertumbuhan jangka panjang, kewujudan peluang pekerjaan, meningkatkan aspek kemahiran dan memangkin pembudayaan inovasi.

Jelasnya, kerajaan negeri melalui PKNP akan meneruskan usaha dalam mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi menggalakkan pelaburan serta mencipta lebih banyak peluang bagi mewujudkan kerjasama strategik dengan sektor swasta pada masa hadapan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!