Mampukah syarikat bas ekspres bertahan?

No Image Caption
A
A
A

KEPUTUSAN kerajaan menguatkuasakan pelbagai langkah bagi membendung risiko jangkitan Covid-19 banyak memberi kesan kepada industri pengangkutan awam sama ada udara, laut mahupun daratan.

Bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada Mac 2020 sehingga kini, operasi pengangkutan awam terutama perkhidmatan bas ekspres di seluruh negara kerap terganggu kerana larangan rentas negeri. Bagi pengusaha bas ekspres, mereka sebelum ini tentunya menunggu dengan penuh harapan ketibaan hari-hari percutian panjang rakyat Malaysia seperti cuti persekolahan dan perayaan utama termasuk Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Ini kerana ratusan ribu rakyat akan menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung.

Semakin banyak penumpang, maka semakin banyaklah pendapatan yang dapat diraih oleh syarikat pengendali pengangkutan.

Bagaimanapun, Covid-19 telah mengubah segala-galanya. Berdasarkan situasi semasa Covid-19 dengan angka kes-kes harian yang lebih kerap naik daripada turun, menyebabkan banyak daripada kita macam sudah terlalu kecewa dan jadi tawar hati.

Ini kerana ketika sebahagian besar daripada kita akur dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal, sebahagian lagi terus berdegil dengan melanggar peraturan.

Di jalan raya dan lebuh raya, kesesakan lalu lintas berlaku tidak kira masa dan makin ketara ketika Ramadan hampir melabuhkan tirai dengan orang ramai semakin ghairah keluar rumah untuk membeli-belah barang keperluan Aidilfitri.

Memantau

Sedar atau tidak, ketika sebahagian daripada kita terlalu seronok keluar rumah, kerajaan pada masa sama sedang peka “memantau” dan awal-awal lagi banyak pihak sudah menjangkakan PKP 3.0 akan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Bermula dengan kes harian meningkat, kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mencadangkan PKP dilaksanakan di negeri-negeri mencatatkan kos Covid-19 yang tinggi makin menguatkan lagi jangkaan bahawa PKP 3.0 akan dilaksanakan.

Bermula Khamis ini, enam daerah di Selangor dikenakan PKP selama 12 hari. Bayangkan jika PKP 3.0 dilaksanakan secara menyeluruh dan rentas negeri masih diharamkan, maka menjeritlah syarikat-syarikat bas ekspres yang telah lebih setahun berada dalam situasi tertekan dan ada antaranya sudah gulung tikar kerana tidak mampu bertahan menampung kos operasi. Gaji pemandu kena dibayar walaupun bas terperap di garaj.

Tidak dinafikan dalam situasi mencabar ini menyukarkan lagi syarikat pengendali bas ekspres yang sudah sedia diasak dengan tekanan kewangan selain bergelut untuk melonjakkan jumlah kapasiti penumpang ke paras sebelum pandemik itu berlaku.

Selain itu, syarikat pengendali bas ekspres juga perlu berusaha memulihkan keyakinan orang ramai untuk menggunakan semula pengangkutan awam di tengah-tengah pelaksanaan langkah keselamatan ketat, bukanlah sesuatu yang dapat dilakukan dalam tempoh semalaman.

Tambahan pula kebimbangan terhadap Covid-19 turut mencetuskan rasa gusar orang ramai untuk berada di kawasan sesak atau terkurung dalam ruangan sempit bersama banyak penumpang lain seperti di dalam bas. Akibatnya ramai yang memilih untuk memandu kenderaan sendiri daripada menggunakan pengangkutan awam.

Jika PKP demi PKP terus dilaksanakan sehingga tahun 2022, berapa lamakah syarikat pengendali bas ekspres mampu bertahan?

Sebahagian syarikat besar yang beroperasi di bawah konsortium mungkin dapat bertahan lama tapi bagaimana dengan syarikat kecil yang mungkin terpaksa gulung tikar. Persoalan sekarang, apa yang boleh dibantu oleh kerajaan untuk menyelamatkan sektor perkhidmatan bas ekspres di negara ini tidak terkubur.

Selagi rentas negeri masih tidak dibenarkan dalam tempoh begitu lama, selagi itulah syarikat pengendali bas ekspres akan terus menderita sambil menunggu bila ancaman Covid-19 akan berakhir.

* Marzuki Yusoff ialah penyunting Sinar Harian