3,120 kes Covid-19 baharu hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes baharu Covid-19 pada Selasa mencatatkan peningkatan dengan 3,120 kes berbanding 2,500 kes pada Isnin menjadikan kes kumulatif Covid-19 di negara ini kini adalah sebanyak 420,632 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitter berkata, daripada jumlah itu dalam tempoh 24 jam lepas, Selangor masih merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 675 kes diikuti Sarawak (620) dan Kuala Lumpur (408).

Ia diikuti Johor dengan 336 kes, Kelantan (296), Pulau Pinang (167), Kedah (155), Perak (117), Negeri Sembilan (95), Sabah (89), Terengganu (53), Melaka (52), Pahang (41), Putrajaya (11), Labuan (lima) sementara Perlis tidak merekodkan sebarang kes baharu.

Dalam kenyataan media itu, Dr Noor Hisham berkata, dalam tempoh 24 jam lepas juga, sebanyak 2,334 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 387,542 kes manakala kes aktif kini adalah sebanyak 31,516 kes.

"Sejumlah 338 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 181 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 1,574 kes, susulan 23 kematian baharu dilaporkan hari ini (Selasa)," kata beliau.

Jelasnya, terdapat 17 kluster baharu dikenal pasti melibatkan tujuh kluster komuniti, lima kluster tempat kerja, empat kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) dan satu kluster keagamaan.

Kluster komuniti berkenaan ialah Kluster Bungey dan Kluster Batu 25 di Sarawak; Kluster Tangkis Selatan dan Kluster Jalan Surian di Johor; Kluster Batu 30, Kelantan; Kluster Jerai Maju, Kedah dan Kluster Layangan Labuan di Labuan.

Kluster tempat kerja pula ialah Kluster Taming Jaya, Selangor; Kluster Persiaran Medini Sentral, Johor; Kluster Jalan Kweng Hitam, Kelantan; Kluster Jalan Yahya 2, Kuala Lumpur dan Kluster Jalan Besar Sungai Jawi, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kluster pendidikan lain melibatkan Kluster Dah Kilometer Tujuh, Kedah; Kluster Lubuk Katak, Perak; Kluster D'Kuala, Sabah; manakala kluster institusi pendidikan KPM ialah Kluster Jalan Ungku Abdul Aziz, Johor; sementara kluster keagamaan ialah Kluster Taman Sri Lambak di Johor. - Bernama