Polis siasat video tular warga asing dipukul lelaki tempatan

Video tular memaparkan seorang lelaki dipukul oleh sekumpulan lelaki di kawasan kaki lima Kedai Taman Alam Jaya Batu 9 Cheras di sini pada Isnin.
Video tular memaparkan seorang lelaki dipukul oleh sekumpulan lelaki di kawasan kaki lima Kedai Taman Alam Jaya Batu 9 Cheras di sini pada Isnin.
A
A
A

KAJANG - Polis menyiasat video tular insiden seorang lelaki warga asing dipukul sekumpulan lelaki di kawasan kaki lima Kedai Taman Alam Jaya Batu 9 Cheras di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner, Mohd Zaid Hassan berkata, video tular berdurasi satu minit 21 saat memaparkan mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki yang dikenali dengan nama Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa orang pengikutnya yang belum dikenalpasti.

"Insiden ini jelas merupakan kejadian kekerasan jenayah yang boleh disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Ia juga merupakan kejadian yang mengganggu gugat serta mendatangkan kekacauan kepada ketenteraman awam kerana ia berlaku di kawasan awam yang terbuka," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Mohd Zaid berkata, penelitian ke atas video itu juga mendapati, kumpulan lelaki itu telah melanggar beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul serta tidak menjaga penjarakan sosial.

"Sehubungan itu, kita telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini bagi tujuan siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Bagi kesalahan melanggar SOP PKPB, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan / 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Mohd Zaid memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Mohd Radzee Jamudi di talian 019-665 5811.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam kenyataan Yusuf yang juga Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia di Facebooknya memaklumkan pihaknya telah menerima berita bahawa baju kemeja-T Semboyan Jihad yang dikeluarkan oleh pihaknya telah dicetak rompak.

"Perkara ini disedari selepas orang ramai mengadu apabila mereka membeli baju itu, ia tidak mencapai kualiti yang memuaskan.

"Harga yang ditawarkan sangat tidak munasabah iaitu pada harga RM5 dan RM10 sahaja. Lebih memedihkan lagi, apabila penjual tersebut 'memancing' untuk menyuruh membeli dengan kuantiti yang banyak," katanya.

Yusuf berkata, pihaknya dapat berjumpa dengan penjual itu selepas menyamar untuk menjadi pelanggan dan ingin membeli sebanyak 600 helai.

"Apa yang membuatkan saya dan Abang Ali marah adalah kerana di awal pertemuan itu suspek sudah menipu dengan mengatakan dia bukan penjual.

"Apabila kita menghubungi nombor penjual baju itu, telefon suspek yang berbunyi," katanya.

Yusuf turut memohon maaf andai (insiden itu) mengguris perasaan orang ramai di bulan yang mulia ini.

"Yang baik itu datang dari ALLAH SWT, yang buruk itu dari saya. Semoga perkara ini boleh dijadikan satu tauladan buat semua," katanya.