Zulkifli enggan ulas kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Zulkifli (tengah) ketika majlis pelancaran Sijil Blockchain Wakaf Pelaburan ASEAN Mall di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Zulkifli (tengah) ketika majlis pelancaran Sijil Blockchain Wakaf Pelaburan ASEAN Mall di Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri enggan mengulas kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan hukum merentas negeri yang mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat.

“Biarlah dulu,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita selepas Majlis Iftar dan Forum Wakaf ASEAN Mall 2021 di sini pada Sabtu.

Usaha media untuk mendapatkan komen lanjut tidak berhasil kerana beliau perlu bergegas bagi menghadiri satu majlis lain di Bangi, Selangor.

Sementara itu, Zulkifli ketika melancarkan Sijil Blockchain Wakaf Pelaburan ASEAN Mall dan kempen One Day One Waqaf Info (ODOWI) anjuran Uniti Asia Business Group berkata, projek berkenaan bukan sahaja memberi peluang dan kebaikan kepada pelanggan untuk memberikan sebahagian harta mereka tetapi dapat membantu golongan memerlukan.

"Projek wakaf tersebut dapat memberi peluang dan memberi kebaikan kepada pelanggan untuk memberikan sebahagian daripada harta mereka untuk membantu masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Uniti Asia Business Group, Datuk Jamal Mohd Amin berkata, Sijil Blockchain Wakaf Pelaburan ASEAN Mall merupakan inisiatif yang ditawarkan ASEAN Mall kepada pelabur wakaf dalam projek tersebut.

“Ia merupakan suatu pembuktian resit pelaburan melalui teknologi 'blockchain' yang merekod pelaburan anda sebagai pelabur wakaf.

“Ia juga menyimpan dalam lejer agihan yang bukan hanya disimpan pada satu pelayan komputer tetapi pelbagai komputer diseluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

“Rekod pelaburan di UnitiAsia selamat dan tidak boleh digodam atau diubah walaupun oleh pihak syarikat dan konsep ini sejajar dengan sifat wakaf iaitu kekal serta berterusan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rentas negeri sambut Aidilfitri hukumnya haram: Mufti WP

Turut hadir pada program berkenaan, Rektor Universiti Fatoni, Thailand, Profesor Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Rani Lebai Jaafar.

Majlis tersebut diikuti dengan penyerahan watikah pelantikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) kepada Uniti Asia Link Sdn Bhd sebagai ejen pemasaran di ASEAN Mall dan di seluruh negara Thailand.

Ia merupakan usaha sama membantu usahawan bagi mempromosikan produk halal peniaga kecil dan sederhana (PKS) di pasaran Thailand.

Program tersebut diakhiri dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Uniti Asia Link Sdn Bhd dan Syarikat Fatihah Frozen serta Al-Haddad Manufacturing.