SPRM teliti afidavit campur tangan hakim

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti maklumat afidavit setebal 63 muka surat yang dikemukakan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Baker berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa.

SPRM melalui kenyataan media berkata, suruhanjaya itu kemudiannya akan meneruskan siasatan sekiranya ia mempunyai asas berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Akta SPRM 2009.

SPRM juga mengesahkan bersemuka bersama Hamid Sultan di kamar beliau di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung afidavit yang dikeluarkan oleh beliau baru-baru ini.

“Dalam pertemuan tersebut, tiada sebarang rakaman percakapan diambil oleh SPRM dan Hamid Sultan telah mencadangkan agar satu pasukan petugas khas ditubuhkan ke arah mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“SPRM akan mengkaji terlebih dahulu maklumat daripada afidavit tersebut dan akan meneruskan siasatan sekiranya ia mempunyai asas berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Akta SPRM 2009,” kata kenyataan itu, hari ini.

SPRM juga orang ramai yang mempunyai maklumat berasas mengenai perkara yang dinyatakan dalam afidavit berkenaan diminta agar melaporkan dan menyalurkan maklumat terus kepada pejabat SPRM terdekat.

“Setiap pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010,” kata kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendedahan salah laku hakim hanya melalui RCI

Artikel Berkaitan:

Peguam Mohammed Haniff Khatri Abdulla sebelum ini menjelaskan, Hamid Sultan hanya akan membuat pendedahan lanjut mengenai salah laku hakim dalam kehakiman seperti yang diikrarkan dalam satu afidavit sebelum ini melalui RCI.

Menurut Mohamed Haniff Khatri, dakwaan yang dibuat perlu disiasat oleh badan bebas dan bukan melalui agensi-agensi penguatkuasaan termasuk polis dan SPRM.

Katanya, siasatan oleh agensi penguatkuasaan adalah tidak bersesuaian kerana akan mengundang rasa tidak selesa pihak-pihak lain untuk turut sama memberikan maklumat.

Hamid Sultan, dalam afidavitnya setebal 63 muka surat kelmarin sebagai sokongan kepada permohonan oleh Sangeet Kaur Deo, mendedahkan, antara lain, butiran yang mengejutkan mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.

Ia termasuk campur tangan dalam keputusan rayuan kes hasutan Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.